KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Dewan Rakyat dimaklumkan Pulau Pinang menerima peruntukan sebanyak RM2.5 bilion daripada Kerajaan Persekutuan pada tahun ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, antara projek besar yang akan dilaksanakan adalah Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang yang bernilai RM16.82 bilion selain pembesaran Empangan Mengkuang dengan kos RM1.2 bilion.
Kata beliau, Kerajaan Persekutuan juga akan membiayai projek menaik taraf Loji Rawatan Kumbahan di Mak Mandin.
“Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada Pulau Pinang telah meningkat pada 2025 sebanyak RM360 juta berbanding RM352 juta pada 2024,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Chow Kon Yeow (Pakatan Harapan – Batu Kawan) yang ingin tahu mengenai agihan hasil cukai negeri bagi menyokong pembangunan dan program kebajikan sosial.
Tambah Hui Ying, salah satu peruntukan terbesar adalah sebanyak RM225 juta bagi Penyenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) pada tahun 2025, berbanding RM222 juta pada tahun lepas.
Sementara itu beliau memaklumkan Kerajaan Persekutuan sentiasa menyokong pembangunan di negeri-negeri melalui pemberian tahunan kepada kerajaan negeri masing-masing.
Jelasnya peruntukan tersebut dibuat berdasarkan belanjawan yang diluluskan serta keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri.
“Hasil yang diterima oleh Kerajaan Persekutuan disalurkan kembali kepada semua negeri melalui pelaksanaan projek-projek pembangunan yang meliputi aspek pendidikan, kesihatan, keselamatan, pengangkutan dan sebagainya,” katanya.
Tambah Hui Ying, sebagai contoh projek-projek seperti Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sabah dan Sarawak, serta infrastruktur lain seperti Central Spine Road di Pahang dan Kelantan turut menerima agihan berkenaan.- TVS.
Sumber : TVS

