BALIK PULAU – Pelantikan bekas anggota polis dan tentera sebagai warden sepenuh masa di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau diyakini mampu memberi keyakinan kepada ibu bapa mengenai keselamatan anak-anak mereka di asrama, sekali gus menangani kebimbangan terhadap isu buli.
Pengetuanya, Ibrahim Abdullah berkata, langkah tersebut menjadi nilai tambah penting kepada pengurusan sekolah berasrama penuh kerana ibu bapa kini lebih tenang apabila mengetahui anak-anak mereka dipantau secara rapi sepanjang masa.
Bagaimanapun, tegas beliau, warden luar berkenaan tidak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman atau menggunakan pendekatan ketenteraan, sebaliknya semua isu yang berbangkit perlu dirujuk kepada pihak pentadbiran MRSM.
“Mereka mula bertugas dari jam 10 malam hingga 7 pagi dengan mengawasi aktiviti pelajar seperti di dewan selera, memastikan semua masuk tidur mengikut waktu ditetapkan selain melakukan rondaan sepanjang malam.

“Warden profesional ini lebih memberi fokus kepada aspek pemantauan disiplin, keselamatan, kebersihan serta keceriaan asrama. Seperti yang pernah ditegaskan Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, warden luar ini berperanan sebagai ibu bapa yang mendidik, bukan menghukum.
“Malah, respons awal ibu bapa juga sangat positif apabila mengetahui ada warden yang berlatar belakang pasukan keselamatan, mereka rasa keselamatan anak di asrama lebih terjamin,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini, semalam.
Mengulas mengapa MRSM Balik Pulau dipilih sebagai perintis, Ibrahim menjelaskan ia keputusan Bahagian Pendidikan Ibu Pejabat Mara.

Bagaimanapun, beliau tidak dimaklumkan sebab khusus pemilihan itu, cuma mengakui dua tahun lalu sekolah tersebut pernah tular dengan kes buli, namun sejak itu keadaan telah berubah dan masalah berkenaan tidak lagi berlaku.
“Kebanyakan kes buli yang kita kesan sebelum ini berlaku selepas jam 1 pagi. Jadi dengan adanya warden luar yang sentiasa buat rondaan pada waktu malam, kita percaya ia mampu mengawal serta mencegah insiden sedemikian daripada berulang,” ujarnya.
Menurut Ibrahim, penglibatan MRSM Balik Pulau sebagai perintis bersama MRSM Besut memberi peluang untuk membuktikan keberkesanan model baharu itu sebelum diperluaskan ke institusi lain.
“Kita percaya pelaksanaan ini boleh dijadikan contoh kepada semua MRSM dalam usaha mewujudkan persekitaran asrama yang lebih selamat serta pelajar yang lebih berdisiplin,” jelasnya.

Beliau menambah, keberadaan warden luar turut meringankan beban guru yang sebelum ini terpaksa memikul tanggungjawab tambahan mengawasi pelajar di asrama selain komitmen akademik.
“Guru boleh lebih fokus kepada tugas mengajar, sementara warden memberi tumpuan khusus terhadap aspek pemantauan disiplin dan kehidupan harian pelajar. Namun, tugasan warden dalam kalangan guru masih kekal meskipun ada warden luar,” ujarnya.
Ibrahim berharap, kehadiran warden ini bukan sekadar membendung kes buli, tetapi juga membentuk budaya hidup lebih berdisiplin dalam kalangan pelajar, di samping meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke asrama.
Untuk rekod, seramai tiga warden daripada latar belakang tentera ditempatkan di empat blok asrama MRSM Balik Pulau yang menempatkan kira-kira 600 pelajar lelaki dan perempuan.
MalaysiaGazette pada Rabu lalu melaporkan kumpulan pertama bekas anggota polis dan tentera akan memulakan tugas sebagai warden sepenuh masa di dua buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) iaitu di Besut dan Balik Pulau, pada Isnin.
Terdahulu, kesemua mereka bertemu dan diberikan taklimat oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurut Asyraf Wajdi, pengambilan warden daripada bekas anggota polis dan tentera itu merupakan inisiatif terbaharu Mara untuk memastikan isu buli dan kes-kes disiplin lain dapat dikekang.
Selain itu, kata beliau, langkah itu juga bagi menjamin persekitaran pembelajaran di MRSM yang selamat dan sejahtera buat semua pelajar sebagaimana yang pernah ditekankan beliau beberapa bulan lalu.
Sumber : Malaysia Gazette

