BAYAN LEPAS, 14 Julai 2025 : Projek di bawah Program Ekonomi MADANI yang dilaksanakan dalam kem tentera membabitkan peruntukan sebanyak RM10 juta di seluruh negara dilihat berjaya menjana pendapatan tambahan keluarga anggota, sekali gus membangunkan industri hiliran dan keterjaminan makanan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak hanya bergantung kepada kekuatan aset dan latihan anggota, malah turut mengambil kira kesejahteraan ahli keluarga mereka yang menjadi tulang belakang kestabilan komuniti pertahanan di negara ini.
Sebagai contoh, katanya, pelaksanaan projek ternakan lebah kelulut dan tanaman cendawan tiram oleh komuniti Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) di Kem Sungai Ara, di sini, membantu keluarga anggota mengisi lapang, lebih-lebih lagi terdapat anggota dari kem itu akan dihantar menyertai misi pengaman di Lubnan, tahun depan.
“Bercakap mengenai kesiapsiagaan, kita bukan sahaja melihat kepada aset yang ada. Kita turut melihat kepada anggota dan keluarga mereka, termasuk menghargai sumbangan dan pengorbanan ATM kerana kita faham kesejahteraan anggota, termasuk soal kesejahteraan keluarga mereka.
“Kita memikirkan bagaimana boleh meningkatkan kesejahteraan keluarga ATM. Jadi, dengan kerjasama rakan-rakan strategik daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), kita mengenal pasti beberapa ilmu yang sebenarnya boleh kita pindahkan menerusi Program Ekonomi Madani kepada keluarga anggota dalam kem,” katanya.
Memberitahu demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Kem Sungai Ara, di sini hari ini, Mohamed Khaled berkata, program yang menerapkan elemen pertanian pintar dan latihan teknikal turut memberi pendedahan ilmu keusahawanan kepada ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) 2 RAMD.
“Projek madu kelulut telah sedia dipasarkan, manakala hasil cendawan kini dalam proses rundingan untuk dipasarkan melalui Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA). Sisa bongkah cendawan juga boleh dimanfaatkan sebagai baja organik.
“Ini menjadikan projek berkenaan bukan sahaja lestari, malah berpotensi besar untuk berkembang. Sambutan terhadap projek yang telah kita laksanakan juga amat menggalakkan. Bagi projek cendawan misalnya, sehingga 20 peserta menyertainya melalui Pusat Kegiatan Cendawan (PKC) dan dijangka meningkat jika permintaan bertambah.
“Jika ada tempat dan tapak yang mencukupi, kita bersedia menambah lagi penyertaan. Ini semua sebagai permulaan untuk memupuk minat dan membuktikan bahawa ia sesuatu yang memberi manfaat dan pulangan kepada peserta,” katanya.
Beliau berkata, projek madu kelulut di kem berkenaan memfokuskan penternakan lebah kelulut secara sistematik menggunakan ‘log hive’ dan teknik pemeliharaan berasaskan penyelidikan bioteknologi hasil kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM).
Penternakan cendawan tiram dibantu Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) pula menggunakan sistem rumah cendawan tertutup dengan kawalan suhu dan kelembapan yang membolehkan hasil tuaian berkualiti dan konsisten.
Terdahulu, beliau meninjau tahap kesiapsiagaan operasi, kebajikan anggota serta menilai kemajuan inisiatif pembangunan komuniti tentera, selain menyantuni kira-kira 300 warga Kem Sungai Ara dan menyampaikan sumbangan kebajikan RM500 kepada 15 pesakit kronik terdiri anggota dan keluarga tentera bertugas di sekitar Kem Sungai Ara.
Sumber : Berita Harian

