Saturday, April 25, 2026
UtamaBeritaKelip-kelip terancam, habitat semakin pupus – CAP

Kelip-kelip terancam, habitat semakin pupus – CAP

GEORGE TOWN, 8 Julai 2025 – Kemusnahan habitat semula jadi dan pencemaran cahaya dikenal pasti antara punca utama kemerosotan populasi kelip-kelip yang semakin membimbangkan di negara ini dan seluruh Asia Tenggara.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, serangga bercahaya itu amat bergantung kepada kawasan tanah lembab seperti hutan paya bakau untuk membiak dan mencari makanan.

Bagaimanapun, katanya, penebangan pokok bakau bagi tujuan pertanian, pembalakan dan projek pembangunan menjejaskan habitat utamanya.

“Pokok bakau di sepanjang tebing sungai adalah tempat perlindungan penting untuk kelip-kelip, serangga dan invertebrata lain.

“Tapi bila ia ditebang, ekosistem terganggu dan kelip-kelip hilang tempat bergantung,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah beliau, pencemaran cahaya daripada lampu jalan, rumah dan pencahayaan luar turut mengganggu proses pembiakan serangga tersebut kerana mereka menggunakan cahaya semula jadi daripada tubuh untuk menarik pasangan sekali gus menjejaskan isyarat cahaya antara jantan dan betina.

“Faktor lain yang menyumbang kepada kepupusan kelip-kelip termasuk pembinaan empangan, pencemaran logam berat dalam tanah, penggunaan racun perosak dan kesan perubahan iklim yang mengubah kelembapan semula jadi habitat mereka. Keadaan ini menyebabkan larva kelip-kelip sukar membesar.

“Kelip-kelip memainkan peranan penting dalam ekosistem kerana membantu mengawal populasi siput, lintah bulan dan cacing secara semula jadi. Kehilangan mereka boleh menyebabkan ketidakseimbangan rantaian makanan dan menjejaskan kestabilan alam sekitar.

“Hari Kelip-kelip sedunia tahun ini membawa tema ‘Bantu Kami Kekalkan Cahaya Berkelip’. Ia menjadi seruan penting agar masyarakat dan pihak berkuasa bekerjasama dalam melindungi habitat, mengurangkan pencemaran cahaya dan mengehadkan penggunaan racun perosak untuk menyelamatkan spesies ini daripada pupus,” katanya. – MalaysiaGazette

Sumber : Malaysia Gazette

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments