Tuesday, February 10, 2026
UtamaBeritaKUKA Robotics luaskan operasi ke Batu Kawan

KUKA Robotics luaskan operasi ke Batu Kawan

BATU KAWAN – Kuka Robot Automation (M) Sdn Bhd (Kuka Robotics Malaysia) mengembangkan operasinya di Malaysia dengan membuka cawangan baharu di Bandar Cassia, di sini, bagi memperkukuhkan kehadiran di wilayah utara yang semakin pesat membangun dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pembukaan cawangan baharu KUKA menunjukkan keyakinan pelabur asing terhadap kekuatan ekosistem industri negara, khususnya di Pulau Pinang.

Jelasnya, langkah strategik itu dilihat bakal mempercepatkan penerapan teknologi automasi serta menyokong pembangunan bakat tempatan, selaras dengan matlamat kerajaan untuk memacu Revolusi Industri 4.0.

“KUKA bakal memainkan peranan penting dalam memperkukuh sektor teknologi tinggi menerusi perkhidmatan teknikal, penglibatan pelanggan yang lebih dekat serta pembangunan kemahiran tempatan.

“Langkah ini selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030,” katanya.

Terdahulu, majlis perasmian cawangan KUKA itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo bersama wakil-wakil kanan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), InvestPenang serta pemain utama industri.

KUKA Robotics merupakan anak syarikat kepada KUKA, sebuah syarikat global berpangkalan di Jerman dan dimiliki majoriti oleh Midea Group dari China.

Syarikat ini dikenali sebagai peneraju dalam penyelesaian automasi pintar dan robotik di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini, KUKA telah membuka pejabat pertamanya di Puchong, Selangor, dan pengembangan ke Batu Kawan menandakan komitmen syarikat untuk terus menyokong pertumbuhan industri di bahagian utara Malaysia.

Dalam majlis sama, KUKA turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) bagi memperkukuh latihan dan pembangunan tenaga kerja dalam bidang robotik.

Ketua Pegawai Eksekutif KUKA Asia Tenggara, Tean Shen Zen berkata, Pulau Pinang merupakan lokasi yang strategik bagi syarikat memandangkan negeri itu menjadi hab penting dalam pembuatan berteknologi tinggi.

“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan agensi negeri dan PSDC untuk melahirkan generasi baharu tenaga kerja dalam bidang automasi dan robotik,” katanya.

Pelaburan ini dijangka menjadi pemangkin kepada perkembangan teknologi automasi di rantau ini dan seterusnya menyokong usaha kerajaan dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab automasi dan robotik di Asia. – MalaysiaGazette

Sumber : Malaysia Gazette

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments