Saturday, December 6, 2025
UtamaBeritaPulau Pinang mahu kepastian pelaburan Intel bernilai AS$7 bilion

Pulau Pinang mahu kepastian pelaburan Intel bernilai AS$7 bilion

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang menerusi InvestPenang akan mengadakan pertemuan dengan gergasi teknologi global, Intel, bagi mendapatkan maklumat lebih jelas mengenai hala tuju pelaburan syarikat itu di negeri ini, susulan laporan bahawa ia mungkin mengecilkan operasi di Malaysia.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata pertemuan itu penting untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkembangan terkini Intel yang sejak 2021 telah melabur sebanyak AS$7 bilion (kira-kira RM33 bilion) di Malaysia, termasuk membina kemudahan pembungkusan cip 3D tercanggih di Pulau Pinang.

“Saya telah dijemput untuk meninjau kemudahan berkenaan beberapa bulan lalu dan perkembangan projek itu amat baik serta hampir siap.

“Justeru, penting untuk kami mendapatkan maklumat terkini mengenai rancangan mereka, lebih-lebih lagi membabitkan pelaburan berskala besar dan strategik ini,” katanya pada sidang media mengenai prestasi pelaburan pembuatan Pulau Pinang bagi suku pertama 2025, di sini semalam.

Kemudahan pembungkusan cip 3D yang sedang dibangunkan itu adalah yang pertama seumpamanya di luar Amerika Syarikat dan dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan rantaian bekalan semikonduktor Malaysia

Pelaburan Intel di Pulau Pinang juga adalah sebahagian daripada pelaburan keseluruhan bernilai AS$14 bilion (RM66 bilion) menjelang 2032 yang turut melibatkan pengembangan operasi syarikat itu di Kulim, Kedah.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata pihaknya baru-baru ini mengadakan perbincangan bersama Intel mengenai rancangan pelaburan semula dan pengembangan operasi syarikat itu di Malaysia.

Beliau berkata, Intel telah melabur lebih RM50 bilion di Malaysia sejak kehadirannya pada tahun 1972 dan telah mewujudkan kira-kira 12,300 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Kehadiran Intel yang konsisten sejak lima dekad lalu mencerminkan keyakinan berterusan terhadap Malaysia sebagai hab pelaburan utama luar negara, terutamanya dalam industri semikonduktor,” katanya menerusi satu hantaran di platform X, semalam.

Malaysia kini antara negara penting dalam rantaian bekalan global semikonduktor, dengan Pulau Pinang memainkan peranan utama sebagai pusat pembuatan dan penyelidikan teknologi tinggi. – Bernama

Sumber : Berita Harian

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments