Georgetown: Wartawan perlu memperkukuh nilai teras profesion dengan mengutamakan pemikiran analitik berpaksikan kepada etika dan kredibiliti pelaporan serta penyampaian maklumat dalam persekitaran media yang kini dipengaruhi media sosial dan teknologi kecederdasan buatan (AI).
Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Datuk Yong Soo Heong berkata, meskipun AI kini menjadi sebahagian daripada ekosistem media, penggiat media harus bijak memanfaatkan dan mengendalikan teknologi sebagai alat sokongan tugasan seharian selain mempertajamkan keupayaan diri dalam usaha menjadi wartawan cemerlang.
“Jangan kalah kepada AI, anda boleh memanfaatkannya untuk membantu memproses atau menjana idea atau maklumat tetapi pada masa sama seorang wartawan perlu mengukuhkan ‘core’ iaitu teras utama dalam profesion kewartawanan.
“Teras ini merujuk kepada nilai, etika yang menjadi prinsip penting dan tunjang kepada tugas seorang wartawan. Berbanggalah dengan hasil kerja anda,” katanya.
Beliau berkata demikian pada forum Wartawan Masa Depan: Membina Kerjaya dalam Dunia Media Baharu di Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang, di sini, semalam.
Turut hadir sebagai panelis ialah Koresponden TV3 Wilayah Utara, Selwam Arjunan dan Penganalisis Media yang juga bekas Pengarang Multimedia The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Munir Anaam Zuljadan.
Soo Heong berkata, ketika ini MPI giat menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan berkunjung ke kolej dan universiti di sekitar Lembah Klang, Sarawak, Kedah dan terbaharu di Pulau Pinang bagi memperluas program latihan dan pendedahan kepada pelajar bidang komunikasi demi memastikan kelestarian bidang kewartawanan.
“Jika dahulu kita hanya bertumpu di pejabat di Cyberjaya… sekarang kita bekerjasama dengan IPTA, IPTS anjurkan program di tempat mereka dengan memberi penekanan kepada kewartawanan baharu serta fokus terhadap teknologi termasuk penggunaan AI dan kewartawanan berasaskan data supaya mereka dapat maklumat jelas mengenai bidang ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPI Ainol Amriz Ismail berkata, MPI turut memberikan pendedahan bagaimana algoritma media sosial berfungsi, khususnya dalam memahami emosi khalayak supaya wartawan tidak sekadar tunduk kepada kehendak algoritma, sebaliknya mampu menggunakannya secara strategik.
Katanya, MPI mahu memainkan peranan dalam melahirkan generasi wartawan yang bukan sahaja mahir dalam bidang penulisan, malah menguasai dan memahami teknologi seperti AI.
“Ia perlu digerakkan oleh manusia yang beretika dan bijak menilai maklumat termasuk mengenal pasti berita palsu.
“Kita tak mahu algoritma menguasai kita. Sebaliknya, wartawan perlu menguasai teknologi itu untuk menggerakkan pemberitaan yang sahih dan beretika,” katanya.
Sumber : Harian Metro

