Kuala Lumpur: Hukum menghisap, menjual, mengedar rokok elektronik atau vape adalah haram, kata Mufti Pulau Pinang Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
Menurutnya, ketetapan itu keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bersidang pada 23 Februari 2016 dan diwartakan secara rasmi dalam Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertarikh 3 Mac 2016 di bawah peruntukan Seksyen 49, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004.
Katanya, vape membawa kemudaratan kepada kesihatan pengguna dan ia termasuk dalam kategori ‘mafsadah’ (kerosakan) yang dilarang oleh Islam.
“Berdasarkan hadis sahih riwayat Ibn Majah, Nabi Muhammad SAW bersabda tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan tidak boleh memudaratkan orang lain.
“Fatwa ini turut berasaskan prinsip segala perkara yang membahayakan tubuh badan adalah haram.
“Islam memerintahkan menjaga lima maqasid syariah utama, antaranya penjagaan nyawa dan kesihatan (hifz al-nafs),” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Sukki berkata, umat Islam dilarang menghisap vape atas sebab produk berkenaan memudaratkan kesihatan, menyebabkan pembaziran dan kesan negatif terhadap sosial serta akhlak.
“Kajian saintifik menunjukkan wap vape mengandungi bahan kimia berbahaya seperti formaldehid, asetaldehid, dan lain-lain toksik yang boleh menyebabkan penyakit paru-paru, keradangan saluran pernafasan, malah risiko kanser.
“Membelanjakan wang untuk perkara yang memudaratkan tanpa manfaat adalah pembaziran, sedangkan Allah berfirman dalam Surah al-Isra’, ayat ke-27, ‘Sesungguhnya pembazir itu adalah saudara syaitan’.
“Ketagihan terhadap vape boleh membuka pintu kepada ketagihan lain termasuk mempengaruhi golongan muda untuk mula bereksperimen dengan bahan lebih berat, sedangkan melalui kaedah Fiqh Sadar al-Dharai’, Islam menutup jalan yang membawa kepada mudarat dan kejahatan walaupun permulaannya kelihatan ringan,” katanya.
Justeru, Mohd Sukki menyarankan kerajaan negeri lain mencontohi Johor dan Terengganu yang melarang penjualan vape bagi melindungi kesihatan awam khususnya generasi muda daripada ketagihan bahan berbahaya serta sebagai langkah pencegahan awal sebelum beban penyakit meningkat.
Sumber : Harian Metro

