GEORGE TOWN – Tiga kawasan dalam daerah Timur Laut (TL) dan Seberang Perai Tengah (SPT) dilanda banjir kilat hari ini susulan hujan lebat berterusan sejak tengah malam tadi.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, kawasan yang terjejas melibatkan Jalan P. Ramlee dan Kampung Masjid bagi daerah TL manakala Taman Siakap di SPT.
Bagaimanapun, jelasnya, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.
“Air mula naik dan memasuki beberapa rumah di Jalan P. Ramlee dan Kampung Masjid sekitar jam 1.40 pagi.
“Susulan itu, pasukan kami melakukan tinjauan awal dan membantu memindahkan mangsa ke kawasan tinggi di rumah masing-masing serta mengalihkan barangan dan kenderaan awam ke tempat selamat

“Hujan mula berhenti pada jam 3 pagi dan paras air mula surut, serta tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya hari ini.
Sementara itu, pemantauan di Taman Siakap pada jam 3.10 pagi mendapati air telah memasuki beberapa rumah di kawasan tersebut.

“Setakat ini, tiada mangsa yang perlu dipindahkan namun pihak APM terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terjejas,” katanya. – MalaysiaGazette
Sumber : Malaysia Gazette

