Wednesday, January 14, 2026
UtamaBeritaKPM umum projek rintis sekolah bertingkat di Putrajaya, KL, Pulau Pinang tahun...

KPM umum projek rintis sekolah bertingkat di Putrajaya, KL, Pulau Pinang tahun ini

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan projek rintis sekolah bertingkat akan dilaksanakan di Putrajaya, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, mulai tahun ini.

Menurut KPM dalam satu kenyataan, hari ini, inisiatif dengan kerjasama rakan strategik korporat itu akan dilaksanakan bagi menangani isu kepadatan sekolah, terutama di kawasan yang berkepadatan tinggi.

“Ia boleh mengurangkan kos projek dan pada masa sama, memastikan infrastruktur serta akses pendidikan terbaik dapat disediakan untuk murid,” katanya.

Bulan lalu, media melaporkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang untuk membangunkan sekolah berkonsep menegak yang menempatkan bangunan dua blok dengan kapasiti antara 10 hingga 17 tingkat di sekitar pusat bandar raya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata syor itu bagi memenuhi keperluan tanah terhad dan pertambahan penduduk di ibu negara.

Dr Zaliha dipetik berkata, cadangan berpandukan konsep diguna pakai beberapa negara maju itu akan dibincangkan bersama KPM bagi tujuan pelaksanaannya kelak.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan pula, menurut kenyataan berkenaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu KPM memberi penekanan terhadap aspek latihan guru.

KPM berkata, penekanan itu disuarakan Perdana Menteri ketika mempengerusikan mesyuarat bersama pengurusan tertinggi kementerian itu, semalam.

“Guru adalah agen perubahan yang mampu mengubah ekosistem pendidikan di sekolah,” katanya.

Menurut kenyataan itu, antara perkara lain yang disentuh ialah inisiatif Sekolah Angkat membabitkan rakan strategik korporat, pendidikan digital dan kecerdasan buatan (AI).

Dalam mesyuarat lebih sejam itu, Anwar turut diberi penerangan mengenai agenda Reformasi Pendidikan yang sedang giat berlangsung pada setiap peringkat.

Selain itu, beliau diberikan penerangan mengenai pelan pembangunan pendidikan baharu dan Kurikulum Persekolahan 2027.

“Mesyuarat berkenaan diadakan bagi memberi tumpuan kepada isu utama, perubahan dan keperluan yang perlu dilaksanakan segera dalam pendidikan.

“KPM bertanggungjawab mempersiapkan tenaga kerja terlatih dan profesional melalui pendidikan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja negara,” katanya.

Selain itu, KPM berkata, Perdana Menteri menekankan bahawa semua murid perlu menguasai bahasa Melayu dengan baik dan pada masa sama memperkasakan bahasa Inggeris.

“Penekanan utama diberikan kepada kompetensi guru serta pembudayaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris pada setiap peringkat,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, usaha meningkatkan enrolmen dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pula perlu membabitkan semua murid di semua jenis sekolah.

“Enrolmen STEM di sekolah berasrama penuh (SBP) ketika ini adalah sekitar 98 peratus.

“Selain itu, tumpuan akan turut diberi kepada sekolah harian dan sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) untuk meningkatkan enrolmen murid STEM,” katanya.

Sumber : Berita Harian

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments