Thursday, April 30, 2026
UtamaBeritaProjek naik taraf dan pembesaran LTAPP lancar ikut jadual

Projek naik taraf dan pembesaran LTAPP lancar ikut jadual

Bayan Lepas: Projek naik taraf dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di sini, berjalan lancar mengikut perancangan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata, projek berkenaan merangkumi tiga pakej kerja utama bagi meningkatkan infrastruktur dan kapasiti operasi lapangan terbang termasuk kerja persediaan, penambahbaikan kemudahan ‘airside’ serta pembinaan bangunan terminal baharu.

“Pakej Kerja Pertama (WP1) dengan kontrak pakej bernilai RM107.9 juta, sudah mencapai sebanyak 31 peratus kemajuan fizikal setakat 15 Februari lalu dan ia dijangka siap pada November ini.

“Pakej ini membabitkan kerja kritikal seperti Bangunan Sokongan, Menara Kawalan Trafik Udara (ATC), pejabat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta Pos Kawalan AVSEC.

“Malah, LTAPP juga akan menjadi lapangan terbang pertama di Asia Tenggara yang menggunakan teknologi Remote Digital Virtual Tower (RDVT),” katanya dalam kenyataan, semalam.

Zairil berkata, bagi Pakej Kerja Kedua (WP2) pula, pembinaan fizikal dijadualkan pada pertengahan April ini membabitkan projek bernilai RM254.6 juta.

Katanya, ia akan menumpukan kepada kerja menaik taraf apron lapangan terbang, laluan teksi pesawat, sistem saliran udara serta pemindahan utiliti.

“Manakala Pakej Kerja Ketiga (WP3) pula, tendernya dijangka dibuka pada April ini dan merangkumi pembinaan terminal baharu serta pengubahsuaian terminal sedia ada termasuk kerja infrastruktur tempatan, perkhidmatan bangunan dan hiasan dalaman,” katanya.

Katanya, terminal baharu LTAPP dijangka beroperasi pada 2027, manakala keseluruhan projek disasarkan siap sepenuhnya pada 2028.

“Secara keseluruhan projek ini adalah langkah penting bagi menampung peningkatan jumlah penumpang di LTAPP dan menambah baik kemudahan lapangan terbang.

“Projek ini juga akan mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab penerbangan serantau dan menyokong pertumbuhan ekonomi serta rangkaian pengangkutan negeri,” katanya.

Sumber : Harian Metro

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments