SEBUAH akademi kesenian akan ditubuhkan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) untuk memberi latihan khusus mengikut bakat dan kemahiran insan istimewa, sekali gus mampu meningkatkan sosioekonomi golongan berkenaan.
Ahli Dewan Negara mewakili golongan OKU, Senator Isaiah Jacob, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) serta Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi mencari bakat dalam kalangan OKU.
“Kami harap bakat golongan ini tidak disia-siakan dan tidak mahu golongan ini hanya bergantung kepada bantuan kebajikan daripada kerajaan. Dengan latihan dan kemahiran, OKU mempunyai masa depan lebih cerah, sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup,” katanya.
Isaiah berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan beg sekolah pada program Back To School sempena Majlis Kasih Mesra Ke-11 Persatuan Bunga-Bunga Syurga (BBS) Down Syndrome di Bayan Lepas, Pulau Pinang baru-baru ini yang turut dihadiri pengerusi persatuan berkenaan, Rosli Yacop.
Menurutnya, antara kemahiran atau bakat yang akan dilatih khusus, antaranya muzik, kraf tangan, nyanyian, melukis dan juga bidang persolekan.
Bagi merealisasikan penubuhan akademi kesenian berkenaan, perbincangan sedang dijalankan dengan Persatuan Karyawan Malaysia Karyawan) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang dijangka dimuktamadkan April ini.
Tahun lalu, Isaiah berkata, sekumpulan OKU menyertai program pendek dengan 16 daripada 22 mereka telah diserapkan dalam industri perhotelan.
“Kita akan berusaha mendapatkan dana bagi membiayai latihan, termasuk menggunakan kemudahan disediakan bagi latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Jika dana tidak cukup, kami akan cuba dapatkan sumbangan syarikat atau korporat,” katanya.
Sementara itu, Isaiah juga menyarankan persatuan bukan kerajaan (NGO) sindrom down berdaftar di seluruh negara bergabung dan menubuhkan Majlis Kebangsaan Sindrom Down Malaysia.
Beliau berkata, platform berkenaan akan membolehkan semua pihak berkongsi idea dalam merangka masa depan pendidikan, dasar serta pekerjaan untuk golongan istimewa ini.
“Jika semua persatuan bersatu hati, suara akan lebih kuat dan lebih mudah untuk dibawa ke Kabinet bagi menyuarakan kebajikan dan keperluan, seterusnya dapat membela nasib golongan istimewa di negara ini,” katanya.
Sumber : Berita Harian

