Menjelang kedatangan bulan Ramadan, menjadi kebiasaan ramai yang akan memikirkan mengenai juadah berbuka puasa bersama keluarga.
Selain memasak dan membeli di bazar Ramadan, pasti ada yang memilih untuk menikmati pakej bufet Ramadan yang ditawarkan pelbagai pihak dengan promosi harga dan sajian menarik.
Memenuhi permintaan itu, pengusaha Bertam Resort and Water Park Penang, Kepala Batas, di Pulau Pinang, menawarkan pakej menarik bertemakan ‘Sajian Warisan Ala Istana’ yang mengetengahkan lebih 160 hidangan dari 14 negeri di Malaysia.
Pengarah Urusan Maritime Waterfront Suites Sdn Bhd, Datuk Mohamed Iqbal S Habeeb Noohu, berkata pihaknya meletakkan sasaran 20,000 pengunjung yang akan membuat tempahan menikmati bufet Ramadan kali ini.
“Tahun lalu, kita telah mencapai kira-kira 17,000 pengunjung dan tahun ini pastinya sasaran kita mahu melebihi angka tahun lalu.
“Dengan sajian warisan ala istana dari 14 negeri di Malaysia yang diperkenalkan, ia memberi kelainan dan membuatkan pengunjung pasti tidak akan jemu.
“Inilah peluang untuk semua menikmati pengalaman merasai masakan ala istana,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran bufet Ramadan itu, baru-baru ini.
Katanya, antara menu menarik yang dapat dirasai pengunjung bufet Ramadan kali ini terdiri daripada masakan Kambing Golek Berempah Negeri Perlis Indera Kayangan Tebu Hitam, Gulai Tempoyak Ikan Patin Pahang, Nasi Beriani Gam Johor Gulai Kawah, Kari Udang Selat Melaka dan Ikan Pekasam Perak.

Katanya, kuih-muih warisan dari pelbagai negeri turut disediakan dengan menu yang berbeza setiap hari.
“Kita berharap sesiapa yang berminat menikmati juadah bufet Ramadan di sini dapat membuat tempahan awal supaya memudahkan kakitangan kita membuat persediaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kulinari Bertam Resort and Water Park Penang, Mohd Khairusshahri Ghazali, berkata menu yang berubah-ubah setiap hari pastinya tidak akan membuatkan rasa jemu untuk pengunjung yang mahu berbuka puasa dekat sini lebih dari sekali.
“Menu memang akan ada perubahan pada setiap hari mengikut kategori negeri yang ada masa ada menu siput belitong, asam pedas, ikan bakar dan lain-lain.
“Pencuci mulut pula, ada jala emas dan kuih-kuih tradisional yang susah nak dapat (jarang ditemui) yang ini adalah kelainan.
“Jadi, pengunjung pasti tidak akan rasa jemu sekiranya mereka berbuka puasa di sini lebih dari satu kali,” katanya.
Tempahan untuk menikmati bufet Ramadan ini sudah dibuka pada 16 Januari lalu dengan harga promosi awal RM100 bersih seorang sehingga 28 Februari 2025.
Sumber : Berita Harian

