Tuesday, February 10, 2026
UtamaBeritaASEAN komited perkukuh pelan kerja antipemerdagangan manusia

ASEAN komited perkukuh pelan kerja antipemerdagangan manusia

GEORGETOWN: Kerjasama kukuh semua negara anggota ASEAN penting bagi memastikan tindakan bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang memberi impak bagi tempoh jangka panjang kepada rantau itu.

Komitmen itu dicapai dalam Mesyuarat Ketua-Ketua Unit Pakar Antipemerdagangan Orang ASEAN (HSU) kali ke-39 di sini, pada Selasa, dihadiri oleh 38 delegasi dari 10 negara anggota ASEAN serta wakil daripada Sekretariat ASEAN.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Senior Asisten Komisioner Soffian Santong,

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN), mesyuarat itu berperanan penting dalam memperkukuh kerjasama serantau bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang.

“Mesyuarat ini bukan sahaja menjadi medan bagi berkongsi maklumat dan strategi terbaik dalam menangani jenayah pemerdagangan orang, tetapi juga membuktikan komitmen negara ASEAN dalam usaha membanteras jenayah ini secara kolektif,” katanya.

Mesyuarat HSU ke-39 yang diurus setia oleh KDN itu adalah sebahagian daripada siri mesyuarat di bawah kerangka Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Antara hasil utama yang dicapai termasuk perkongsian strategi dan amalan terbaik daripada negara ASEAN menangani jenayah pemerdagangan orang, penilaian Pelan Kerja HSU 2023-2024 serta cadangan bagi Pelan Kerja 2025-2026.

Mesyuarat itu juga turut membuat penetapan Focal Points HSU bagi negara ASEAN dalam memperkukuh koordinasi menangani isu pemerdagangan orang di peringkat serantau.

Selain itu, mesyuarat turut mendengar pembentangan khas daripada ASEAN-Australia Counter Trafficking (ASEAN-ACT) mengenai inisiatif yang dirancang bagi memperkukuh kerjasama penyiasatan di bawah mekanisme HSU di rantau ASEAN.

“Penganjuran mesyuarat ini membuktikan kesungguhan Malaysia dan negara ASEAN dalam memperkukuh usaha bersama membanteras pemerdagangan orang, sejajar dengan objektif keselamatan dan kestabilan serantau,” katanya.

Sumber : Berita Harian

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments