Thursday, April 23, 2026
UtamaBeritaCahaya lampu menara monopole TNB jadi tarikan baharu

Cahaya lampu menara monopole TNB jadi tarikan baharu

GEORGE TOWN – Pancaran lampu di menara monopole milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersebelahan dengan Jambatan Pulau Pinang kini menjadi mercu tanda serta tarikan pelancongan baharu di negeri ini.

Cahaya lampu beraneka warna itu mula dipancar tepat jam 12 tengah malam semalam sekali gus memeriahkan lagi sambutan malam ambang tahun baharu di sini.


Kombinasi lampu berwarna biru, kuning dan putih yang simbolik dengan bendera Pulau Pinang antara 200 warna yang dipancarkan pada 31 tiang menara sepanjang projek berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Jambatan Pulau Pinang mendapati pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan bagi merakamkan pemandangan menarik di sepanjang laluan berkenaan.

image
Projek bernilai RM500 juta ini, yang dilancarkan pada penghujung 2022, melibatkan pembinaan talian penghantaran atas sepanjang 8.5 kilometer yang dibina selari dengan Jambatan Pulau Pinang. Foto Bernama

Tidak kurang juga ada yang sanggup memberhentikan kenderaan di atas jambatan bagi mengambil gambar kenangan berlatar belakang cahaya lampu itu.

Bagaimanapun, keadaan terkawal dan tidak berlaku kesesakan sepanjang Jambatan Pulau Pinang termasuk dengan rondaan yang dilakukan oleh anggota polis.

Difahamkan, pancaran lampu di menara monopole TNB itu akan dipasang setiap malam bermula Rabu di sepanjang 8.5 kilometer (km) projek jajaran yang menghubungkan pencawang masuk utama (PMU) stesen janakuasa (SJ) Perai ke PMU The Light di sebelah pulau.

Projek yang dibangunkan sejak 2022 itu dilaksana bagi memastikan kapasiti sistem bekalan sedia ada tidak terjejas apabila satu-satunya stesen janakuasa di pulau iaitu SJ Gelugor dengan kapasiti penjanaan 300 megawatt (MW), dijadualkan tamat kontrak perkhidmatan pada akhir 2024.

image 2
Kombinasi lampu berwarna biru, kuning dan putih yang simbolik dengan bendera Pulau Pinang antara 200 warna yang dipancarkan pada 31 tiang menara sepanjang projek berkenaan.

Projek yang menelan belanja kira-kira RM500 juta itu juga dibangunkan bagi memastikan permintaan tenaga sentiasa terjamin dan mampan bagi memenuhi keperluan pembangunan masa depan di Pulau Pinang terutama ke bahagian pulau.

Sebanyak 31 monopole atau tiang menara termasuk enam tiang dengan reka bentuk buah pinang dibina sepanjang jajaran berkenaan.

image 4
Pancaran lampu di menara monopole TNB akan dipasang setiap hari bermula 1 Januari.

Sumber : Sinar Harian

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments