PULAU PINANG: Iconic Worldwide Bhd melalui anak syarikatnya, Iconic Penang Sdn Bhd, melancarkan Iconic Marjorie Hotel, Tribute Portfolio Hotel di Bayan Lepas, sekali gus menambah koleksi hospitaliti mewah jenama Marriott International di Malaysia.
Hotel bertaraf lima bintang dengan 298 bilik itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, bersama barisan kenamaan seperti Konsul Jeneral China di Pulau Pinang, Zhou Youbin, dan EXCO Pelancongan Pulau Pinang, Wong Hon Wai.
Pengerusi Iconic Worldwide Bhd, Datuk Seri Tan Kean Tet berkata, projek bernilai RM180 juta ini menjadi simbol komitmen syarikat dalam meningkatkan daya tarikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan bertaraf dunia.
“Kami bangga dapat bekerjasama dengan Marriott International untuk menghadirkan pengalaman unik yang meraikan warisan Pulau Pinang. Hotel ini menggabungkan kemewahan dan elemen budaya tempatan, mencerminkan visi kami terhadap kecemerlangan hospitaliti,” katanya.
Iconic Marjorie Hotel bukan sekadar tempat penginapan, malah mengetengahkan seni bina unik dengan elemen Baba-Nyonya, hasil kerjasama dengan Hirsch Bedner Associates (HBA).
Hotel ini turut mencapai standard Emas dalam sistem penarafan Indeks Bangunan Hijau (GBI), menjadikannya hotel pertama di Pulau Pinang yang mendapat pengiktirafan tersebut.
Naib Presiden Pasaran Malaysia, Marriott International, George Varughese, menyifatkan hotel itu sebagai contoh kepakaran global yang disesuaikan dengan keunikan tempatan.
“Dengan reka bentuk dan komitmen terhadap kemampanan, Iconic Marjorie Hotel mencerminkan semangat Tribute Portfolio, mencipta pengalaman yang mendalam bagi pelancong,” katanya.
Selain hotel, Iconic Group turut melancarkan Iconic Regency, sebuah pembangunan kediaman servis 42 tingkat dengan 268 unit di lokasi yang sama. Kediaman ini menawarkan pelbagai jenis unit termasuk studio dan apartmen tiga bilik, dilengkapi dengan perabot serta kemudahan seperti kolam infiniti dan gimnasium langit.
“Kombinasi Iconic Marjorie dan Iconic Regency akan memenuhi keperluan pelancong, ekspatriat, dan pelajar, memanfaatkan lokasi strategiknya berhampiran lapangan terbang serta kawasan perindustrian Bayan Lepas,” tambah Kean Tet.
Dengan gabungan kemewahan, warisan tempatan, dan inovasi hijau, Iconic Group yakin pelancaran ini akan memperkukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab utama di Asia Tenggara.
Sumber : Berita Harian

