Thursday, April 23, 2026
UtamaBeritaKENYATAAN MEDIA PEJABAT KETUA MENTERI PULAU PINANG PADA 26 DISEMBER 2024 DI...

KENYATAAN MEDIA PEJABAT KETUA MENTERI PULAU PINANG PADA 26 DISEMBER 2024 DI KOMTAR, GEORGE TOWN

(i) PENGECUALIAN TUNGGAKAN DENDA CUKAI TANAH DAN CUKAI PETAK SEBANYAK 100 PERATUS MULAI 2 JANUARI 2025 SEHINGGA 28 FEBRUARI 2025


(ii) PENGURANGAN TUNGGAKAN DENDA SEBANYAK 50 PERATUS BAGI PEMBAYARAN CUKAI TANAH DAN CUKAI PETAK MULAI 1 MAC SEHINGGA 31 MEI 2025


Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) minggu lalu bersetuju memberikan pengecualian tunggakan denda cukai tanah dan cukai petak sebanyak 100 peratus kepada semua pemilik tanah serta petak di negeri ini yang membuat bayaran cukai (tanah dan petak) masing-masing mulai 2 Januari 2025 sehingga 28 Februari 2025.


Dalam pada itu, mesyuarat yang sama turut bersetuju memberikan pengurangan tunggakan denda cukai tanah dan cukai petak sebanyak 50 peratus kepada semua pemilik tanah serta petak yang membuat bayaran mulai 1 Mac 2025 sehingga 31 Mei 2025.
Kedua-dua insentif serta tawaran tersebut turut dipanjangkan kepada pemilik tanah atau pemilik petak yang telah menerima Notis Denda 6A (cukai tanah) atau Notis Denda 11 (cukai petak).


Walau bagaimanapun, tawaran pengecualian dan pengurangan tunggakan cukai tanah serta cukai petak dinyatakan tidak dipanjangkan kepada pembayar yang membuat pembayaran secara ansuran. Tawaran ini juga bukan berbentuk retrospektif serta tidak boleh dinikmati oleh pemilik tanah atau petak yang membuat pembayaran tunggakan denda lewat sebelum tarikh pengecualian dan pengurangan ini dikuatkuasakan.

Secara keseluruhan, hasil semakan mendapati bahawa terdapat tunggakan denda lewat yang tinggi melibatkan 40,371 akaun cukai tanah dan cukai petak (67,537 akaun) di Pulau Pinang berjumlah hampir RM40.1 juta. Sekiranya para pemilik tanah dan pemilik petak tidak membuat bayaran cukai tanah serta cukai petak dengan segera, dikhuatiri tanah atau petak mereka akan dilucut hak oleh Pihak Berkuasa Negeri akibat tunggakan bayaran sedia ada.

Umumnya, insentif diskaun yang diberikan oleh Kerajaan Negeri adalah bertujuan menggalakkan pemilik tanah dan pemilik petak membayar cukai tanah serta cukai petak bagi tahun 2025 pada tempoh lebih awal. Selain itu, ia juga bertujuan meringankan beban pemilik tanah serta pemilik petak yang memiliki tunggakan denda cukai tanah dan cukai petak tinggi akibat tunggakan tidak membuat pembayaran sebelum 31 Mei setiap tahun.

Justeru, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri agar semua pemilik tanah dan pemilik petak di negeri ini dapat mengambil peluang membuat bayaran masing-masing secepat mungkin mulai 2 Januari 2025 sehingga 28 Februari 2025 bagi membolehkan mereka menikmati pengecualian tunggakan denda sebanyak 100 peratus.

Pembayaran boleh dibuat menerusi kaunter hasil Pejabat Daerah dan Tanah dan juga secara dalam talian melalui portal, PgLAND secara sekali gus (lump sum). Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang di talian 04 – 650 5844 / 5847 / 5849, atau Pejabat Daerah dan Tanah di daerah masing-masing.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments