Monday, March 9, 2026
UtamaBeritaRumah Mampu Milik Bakat Baru Madani bernilai RM13 bilion bakal dibina di...

Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani bernilai RM13 bilion bakal dibina di Pulau Pinang

Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan pemeteraian Perjanjian Pembangunan Bersama Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani, membabitkan pembinaan hampir 38,000 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM13 bilion di Pulau Pinang.

Disifatkan sebagai nilai pembangunan terbesar bagi rumah mampu milik dalam sejarah negara, projek usaha sama antara Penang Development Corporation (PDC), PDC Properties (PDCP) dan SkyWorld Development Berhad (SkyWorld) menawarkan harga rumah antara RM300,000 hingga RM420,000, yang mensasarkan golongan B40 dan M40.

Projek di Batu Kawan dan Seberang Jaya ini akan dilengkapi kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, dewan serba guna, dan taman permainan.

Turut hadir menyaksikan pemeteraian perjanjian itu ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming serta Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Pengasas dan Pengerusi Eksekutif SkyWorld Datuk Seri Ng Thien Phing, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SkyWorld Lee Chee Seng, CEO PDC Datuk Aziz Bakar dan CEO PDC Properties Ismail Ishak.

Sementara itu, Nga dalam ucapannya berkata, projek berkenaan yang membabitkan 33,688 unit Rumah Bakat Baru Madani dan 3,700 unit Rumah Mampu Milik membawa kerajaan selangkah lebih dekat mencapai sasaran membina 500,000 rumah mampu milik menjelang akhir 2025.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang, khasnya PDC dan PDC Properties. Tekad dan usaha yang ditunjukkan kerajaan negeri ini perlu dijadikan teladan dan model kepada negeri lain untuk menyahut saranan kerajaan dalam menyediakan rumah mampu milik kepada golongan sasar,” katanya.

Chow berkata, Rumah Bakat Baru Madani, yang dijangka siap dalam tempoh 15 tahun, adalah konsep kediaman yang bakal memberi peluang kepada rakyat luar Pulau Pinang untuk memiliki kediaman di negeri itu.

Secara dasarnya, rumah berkeluasan 83.6 meter persegi (900 kaki persegi) yang akan dibina di kawasan seluas 13.75 hektar di Seberang Jaya dan 65.35 hektar di Batu Kawan itu dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air.

“Ini adalah peluang terbaik untuk anak Pulau Pinang dan juga rakyat luar Pulau Pinang yang bekerja di negeri ini untuk membeli kediaman pada harga mampu milik,” kata Chow.

Sumber : Harian Metro

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments