KUALA LUMPUR: Pulau Pinang muncul juara berpasukan Lelaki Bawah 16 Tahun dalam Kejohanan Berpasukan Kebangsaan Antara Negeri 100PLUS Bawah 12 & 16 Tahun 2024 di hadapan penyokong sendiri selepas menewaskan Melaka 2-1 dalam perlawanan akhir di Dewan Persatuan Badminton Pulau Pinang (PBA).
Pasukan tuan rumah, yang menduduki tempat keempat tahun lalu, tidak melepaskan peluang untuk meraih kejuaraan, terutama sekali selepas berjaya menundukkan juara bertahan, Kedah di peringkat separuh akhir.
Dalam perlawanan akhir, pemain utama mereka, Kong Wei Xiang, yang sebelum ini menjuarai acara perseorangan lelaki di Pusingan Akhir Jelajah Elit Junior pada Jun lalu, terpaksa bekerja keras sebelum dapat mengatasi cabaran Curson Cheng Yu Yang.
Wei Xiang mengambil masa 55 minit untuk menundukkan Yu Yang 21-19, 21-16 sekali gus menghadiahkan mata pertama buat Pulau Pinang.
Bagaimanapun, Melaka tidak menyerah kalah dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi pasangan beregu lelaki, Ungku Ameer-Syed Harraz, yang mencatat kemenangan 21-17, 21-18 ke atas Khaw Kai Shyang-Low Quan Yi.
Dalam perlawanan penting perseorangan lelaki kedua, Louis Lee Qi Jun diberi cabaran hebat oleh Wan Muhamad Darwisy sebelum mencatat kemenangan 21-15, 21-17 dalam pertembungan selama 52 minit.
Sementara itu, Perak muncul sebagai juara dengan kemenangan 2-1 ke atas Kuala Lumpur dalam kategori pasukan perempuan bawah 16 tahun.
Ong Xin Ru memberikan mata pertama kepada Kuala Lumpur dalam acara perseorangan menerusi kemenangan 21-18, 21-18 ke atas Mun Lee dalam pertarungan selama satu jam.
Namun, pasangan A Baavanya-Balqis Safia Zahra Mohd Zain menyamakan kedudukan untuk Perak selepas menewaskan pasangan Kuala Lumpur, Teoh Sue Mei-Lee Weng Yan, dengan keputusan 10-21, 21-12, 21-18 dalam acara beregu.
Perak kemudian mengesahkan gelaran juara dengan kemenangan Nur Aina Maisarah Muhammad Hatta ke atas Wong Au Mel 19-21, 21-9, 21-12 dalam perseorangan kedua.
SUMBER : BH Online

