Wednesday, April 22, 2026
UtamaBeritaCalon Top 20 ABPBH 36 hangatkan Karnival Jom Heboh Pulau Pinang

Calon Top 20 ABPBH 36 hangatkan Karnival Jom Heboh Pulau Pinang

KUALA LUMPUR: Kehangatan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 yang menghampiri kemuncaknya, makin dirasai apabila calon Top 20 menyertai Karnival Jom Heboh (KJH) Pulau Pinang di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, mulai esok hingga Ahad.

Memulakan program, kembara konvoi yang membawa calon Top 20, akan berlepas dari Balai Berita, Bangsar, pada jam 10 pagi, esok, menuju ke KJH Pulau Pinang dengan menaiki kenderaan Suzuki Jimny.

Kembara konvoi ini mendapat kerjasama logistik daripada Syarikat Naza Eastern Motors Sdn Bhd yang membekalkan enam kereta Suzuki Jimmy. Konvoi ABPBH 36 ke KJH Pulau Pinang juga mendapat kerjasama PERSADA PLUS yang akan memantau dan melancarkan perjalanan kenderaan sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan menuju ke Pulau Pinang.

Acara pelepasan konvoi ABPBH 36 bakal disempurnakan Pengarang Urusan Kumpulan, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, yang akan turut sama menyertai konvoi ini.

Hadir bersama adalah Timbalan Pengarang Kumpulan BH, M Thillinathan; Pengurus Besar, Operasi Perniagaan, Sokongan Jualan dan Pemasaran, NSTP, Aswan Abdul Kadir dan Pengarah ABPBH 36 merangkap Pengarang Berita Kanan Hiburan/Projek BH, Shamshul Azree Samshir.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi, Naza Eastern Motors Sdn Bhd, Mohd Irwan Shahril.

Rombongan konvoi ABPBH 36 dijadual singgah di Hentian Rawat dan Rehat (R&R), Sungai Perak untuk mempromosikan Malam Kemuncak ABPBH 36 dan memberi peluang kepada pengguna lebuh raya bertemu artis pujaan.

Pihak penganjur BH turut mengatur program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengunjungi seniman era 1960-an, iaitu penyanyi lagu Marilah Mengundi, Rocky Din di kediamannya di Bagan Belat, Teluk Air Tawar, Butterworth. Rombongan konvoi ABPBH 36 bakal menyampaikan sumbangan wang tunai kepada artis veteran itu.

Ketibaan konvoi ABPBH 36 di KJH Pulau Pinang, petang esok, akan disambut persembahan seni boria warisan tempatan, Kumpulan Boria Omara.

Pada KJH Pulau Pinang, ABPBH 36 tampil dengan reruai tersendiri yang memberi peluang kepada pengunjung terutama peminat untuk bertemu dengan artis kesayangan sambil beramah-mesra, bergambar dan menyertai aktiviti permainan bersama selebriti. Pelbagai barangan eksklusif ABPBH 26 turut menanti pengunjung.

Program ABPBH 36 di Stadium Batu Kawan disertai calon Top 20 termasuk hos utama. Seramai 18 calon ABPBH 36, yang menggabungkan artis lama dan baharu bakal memeriahkan acara, termasuk salah seorang hos utama malam kemuncak ABPBH 36, iaitu artis versatil, Didie Alias.

Antara artis dan selebriti yang menyertai program ABPBH 36 di KJH Pulau Pinang adalah trio Kumpulan Senario iaitu Yassin, Saiful Apek dan Lan Pet Pet; Haiza; Ernie Zakri; Nabila Razali; Khai Bahar; Sweet Qismina; Bella Astillah dan Ara Johari. Begitu juga artis baharu seperti Trisha Ooi; Fieya Julia; Shah Randhy; Tika Nasir; Putera Muhammad dan Hasif Upin.

Program ABPBH 36 di KJH Pulau Pinang turut dihangat dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran dan persembahan istimewa kumpulan The Gadys.

Penganjur juga membuka ruang kepada pengunjung KJH untuk mengetengahkan bakat ‘terpendam’ dengan menyertai pertandingan nyanyian Bintang Idola BH di reruai ABPBH 36.

Pendaftaran bermula esok dan proses saringan diatur, lusa. Pertandingan akhir akan dikendalikan Ahad ini.

Bertemakan Teguh, ABPBH 36 yang diinspirasikan oleh CONBOO sebagai penaja utama, akan disiarkan secara langsung di saluran televisyen TV3 dan strim melalui saluran Tonton dari Auditorium MBSA, Shah Alam pada jam 9 malam, iaitu Jumaat, 11 Oktober depan.

Penaja utama ABPBH 36, CONBOO juga membuka reruai (booth) bersebelahan reruai ABPBH 36, bagi memberi peluang kepada peminat melihat sendiri keunikan produk untuk kecantikan dan keyakinan diri yang menggunakan bahan premium semula jadi.

Bahan itu merangkumi madu Manuka, ekstrak sarang burung, serbuk mutiara, vitamin C, glutathione, susu kambing, ekstrak biji anggur, ekstrak kurma, krimer dan stevia.

Mengulas mengenai penganjuran program ABPBH 36 di KJH Pulau Pinang, Shamshul Azree berkata program itu menjadi antara salah satu pengisian penting bagi anugerah paling berprestij pada edisi kali ini.

Acara itu dianjurkan bagi menghargai sokongan dan tanda terima kasih terhadap pembaca yang setia menyokong BH dan ABPBH sehingga kini.

“Akhbar BH sudah menjangkau 67 tahun, iaitu seusia dengan kemerdekaan Malaysia yang berdiri teguh selama 67 tahun ini. Tempoh 36 tahun ABPBH dianjurkan bukanlah singkat. Kami percaya tanpa sokongan pembaca dan peminat, tidak mungkin kami dapat bertahan sehingga kini,” katanya dalam kenyataan.

Shamshul Azree berkata, BH berbangga ABPBH masih menjadi antara program hiburan ikonik yang masih bertahan dan terus diminati di Malaysia.

“Untuk bertahan, bukan sedikit cabaran dihadapi. Kami sebagai penganjur ABPBH sentiasa komited dalam menambah baik pengisian ABPBH dan memastikan acara anugerah breprestij ini kekal relevan dalam mengukur populariti penggiat seni tempatan,” katanya.

Shamshul Azree berkata, program ABPBH 36 di KJH Pulau Pinang dianggap peluang terbaik untuk BH mendekatkan diri dengan masyarakat dan berinteraksi secara langsung dengan mereka terutama generasi muda selain berlibur dan bersantai.

SUMBER : BH ONLINE

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments