Kepala Batas: Seorang atlet memanah yang menghidap sindrom ‘ lumbosacral agenesis’ menerima bantuan pembelian kerusi roda baharu untuk digunakan ketika menyertai Para Sukan Malaysia (Sukma) 2024 Sarawak yang akan berlangsung pada 22 hingga 28 September ini.
Nur Anis Humairaa Mohd Rasli, 20, menerima sumbangan itu daripada Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen yang juga Ketua Kontinjen Pulau Pinang dalam satu pertemuan ringkas dengan disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Reezal Merican berkata, kerusi roda Nur Anis Humairaa ketika ini sudah uzur dan tidak sesuai lagi digunakan untuk menyertai sukan berkenaan.
“Oleh itu, atlet ini yang berasal dari Kampung Permatang Setar, di sini, memerlukan kerusi roda khas yang tentu harganya bukan murah.
“Saya berterima dengan keprihatinan Daniel Gooi (EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan negeri) yang turun sendiri ke Bertam untuk menyampaikan cek sumbangan bagi pembelian kerusi roda baharu kepada Nur Anis Humaira, baru-baru ini.
“Diharapkan dengan insentif kerusi roda ini akan melonjakkan semangatnya untuk membawa pulang pingat emas dalam temasya sukan itu nanti,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi laman sosial Facebook (FB) miliknya, di sini, semalam.
Jelasnya, atlet itu menghidap penyakit berkenaan sejak lahir yang menyebabkan kedua-dua belah kaki lumpuh.
“Namun begitu,meskipun berkerusi roda atlet ini sangat meminati dan berbakat dalam sukan memanah.
“Sebelum ini, Nur Anis Humaira meraih kejayaan dalam pelbagai pingat di peringkat sirkit kebangsaan bagi acara terbabit,” katanya
Para Sukma 2024 Sarawak yang bakal disertai 1,528 atlet dari seluruh negara dijadualkan berlangsung di Bumi Kenyalang selama tujuh hari bermula 22 hingga 28 September ini.
SUMBER :Harian Metro

