Georgetown: Majikan bertindak menghilangkan diri apabila menyedari premis perniagaannya yang beroperasi di dalam Pusat beli belah Prangin di sini, diserbu Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang.
Imigresen dalam kenyataannya berkata, majikan itu dipercayai bertindak demikian selepas menyedari pekerja yang digajikan tidak memiliki pas dan permit yang sah.
Katanya, dalam serbuan itu seramai lapan pekerja warga asing diperiksa iaitu terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita.
“Didapati kesemua mereka disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan dan pas yang sah bagi berada serta bekerja di negara ini.
“Mereka yang berusia antara 30 hingga 50 tahun itu terdiri daripada lima warga Indonesia, China (dua) dan Myanmar (1), ditahan kerana disyaki tidak memiliki pas yang sah serta melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” menurut kenyataan itu hari ini
Menurut Imigresen lagi, siasatan lanjut dan gerakan mengesan majikan terbabit juga akan dilaksana bagi dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.
Sementara itu di lokasi berasingan, seorang lelaki Pakistan berumur 46 tahun yang disyaki bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah rumah ibadat yang terletak di Lebuh Faquhar, di sini turut diperiksa.
Dia didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan, ditangkap kerana kerana disyaki tidak memiliki pas yang sah dan melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua tangkapan ditahan di Depot Imigresen Juru bagi siasatan dan tindakan lanjut jabatan.
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Pulau Pinang menyeru masyarakat bagi terus menyalur maklumat berkaitan warga asing yang melanggar undang-undang dan peraturan bagi membolehkan tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan.
SUMBER : HMETRO

