Butterworth: Lelaki warga emas yang menderita penyakit kencing manis sejak lima tahun lalu sehingga kehilangan kedua belah kakinya menarik nafas lega selepas memperoleh MyKad baharu.
Keadaan itu membolehkan Sabri Saad, 67, mengambil bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas tidak berbuat demikian kira-kira setahun lalu.
Sabri dari Kampung Surau Seberang Jaya, di sini, yang hidup sebatang kara berkata, dia kehilangan kad pengenalan ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital, di sini, hampir setahun lalu.
Menurutnya, susulan itu dia tidak dapat mengeluarkan bantuan bulanan JKM berjumlah RM500 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
“Duit bantuan saya minta seorang jiran keluarkan sebab saya terlantar kerana tidak mempunyai kedua-dua belah kaki.
“Namun, selepas kehilangan MyKad, urusan pengeluaran wang tidak dapat dilakukan dan ada pihak zakat (Zakat Pulau Pinang) datang untuk menghulurkan bantuan juga tidak boleh buat apa-apa kerana tiada MyKad.
“Mujur saya dikelilingi dengan jiran-jiran yang prihatin dan mereka memaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang memudahkan urusan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Terdahulu, Sabri menerima MyKad menerusi program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) yang diserahkan sendiri oleh Pengarah JPN Pulau Pinang Shah Inor Shahbudin.
Sementara itu, Shah Inor berkata, pihaknya turun padang sebaik menerima maklumat berhubung warga emas berkenaan yang keciciran MyKad.
Menurutnya, beliau adalah pemohon ke-100 yang dibantu dalam program Mekar Ihsan bagi tahun ini.
“Dengan penyerahan MyKad ini, pak cik Sabri boleh mengeluarkan semula wang bantuan diperolehnya termasuk memudahkan pihak lain yang ingin membantunya terutama dari sudut pemprosesan bantuan bagi meringankan beban warga emas ini.
“Kita ingin tegaskan bahawa JPN tidak melantik mana-mana ejen untuk urusan MyKad, sebaliknya boleh berurusan secara terus kerana kita mempunyai pasukan yang akan membantu,” katanya.
SUMBER : HARIAN METRO

