Thursday, January 15, 2026
UtamaBeritaPulau Pinang pamer prestasi ekonomi memberangsangkan

Pulau Pinang pamer prestasi ekonomi memberangsangkan

GEORGE TOWN: Pulau Pinang mempamerkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan dan kekal sebagai penyumbang keempat tertinggi sebanyak 7.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional pada 2023.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata Pulau Pinang merekodkan pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus atau RM116 bilion pada 2023 berbanding RM112.3 bilion tahun sebelumnya.

“Pertumbuhan ekonomi negeri ini dipacu oleh sektor perkhidmatan yang berkembang 6.0 peratus, didorong oleh subsektor berkaitan pelancongan seperti perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan.

“Bagi prestasi KDNK perkapita, Pulau Pinang merekodkan RM72,586 pada 2023, meningkat berbanding RM69,789 tahun sebelumnya.

“Dari segi pelaburan, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pulau Pinang berjaya menarik pelaburan yang diluluskan tertinggi di Malaysia pada 2023 bernilai RM71.9 bilion, merangkumi RM61.7 bilion pelaburan asing yang menyumbang 85.8 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala RM10.2 bilion lagi melalui pelaburan domestik,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menyatakan bahawa sektor pembuatan yang merupakan penyumbang kedua terbesar ekonomi Pulau Pinang menerima pelaburan memberangsangkan bernilai RM63.4 bilion, merangkumi RM60.1 bilion pelaburan asing dan RM3.3 bilion pelaburan domestik, sekali gus berupaya merancakkan ekonomi setempat seterusnya mewujudkan banyak peluang pekerjaan baharu.

Selain itu, seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta prestasi pelaburan yang menggalakkan, pasaran buruh di Pulau Pinang terus mengukuh dengan bilangan tenaga buruh seramai 926,200 orang, meningkat 3.4 peratus berbanding tahun sebelumnya (895,600 orang), manakala bilangan penduduk bekerja juga meningkat kepada 905,600 orang berbanding 871,000 orang pada 2022.

Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) meningkat sebanyak 1.2 mata peratus daripada 70.1 peratus kepada 71.3 peratus pada 2023 dan pada masa sama, kadar pengangguran semakin baik, iaitu menurun kepada 2.2 peratus daripada 2.7 peratus pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, Pulau Pinang merekodkan jumlah perdagangan tertinggi di Malaysia bernilai RM697.7 bilion dengan nilai eksport dan import masing-masing RM447.4 bilion dan RM250.3 bilion.

Eksport barangan utama adalah litar elektronik bersepadu, barangan elektrik dan elektronik yang lain serta kristal piezo elektrik dan alat ganti yang meliputi 63.3 peratus kepada eksport keseluruhan negeri itu.

“Destinasi eksport utama Pulau Pinang pada 2023 adalah China dengan jumlah eksport bernilai RM79.7 bilion, diikuti Amerika Syarikat (RM76.0 bilion) dan Singapura (RM66.7 bilion).

“Manakala, import barangan utama Pulau Pinang adalah litar elektronik bersepadu, diikuti oleh kristal piezo elektrik dan alat ganti serta barangan elektrik dan elektronik yang lain dengan sumber import utama adalah dari China, Taiwan dan Singapura,” katanya.

Beliau berkata, selaras dengan peningkatan kadar inflasi di peringkat nasional yang lebih perlahan pada 2023, inflasi Pulau Pinang turut mereda ke 2.2 peratus berbanding 3.2 peratus dengan mata indeks mencatatkan 131.8.

Secara keseluruhan, peningkatan ini disumbangkan oleh kumpulan makanan dan minuman (5.0 peratus), restoran dan hotel (4.2 peratus), kesihatan (2.5 peratus), pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.2 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas serta bahan api lain (1.7 peratus).

SUMBER : BH ONLINE

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments