
KUALA LUMPUR : Menteri Komunikasi membidas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa wujud diskriminasi dalam agihan bekalan air kepada penduduk Pulau Pinang oleh Kerajaan Negeri yang dipimpin Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow.
Fahmi Fadzil menyifatkan kenyataan itu sebagai mirip hasutan dan berunsur perkauman.
“Itu mirip kenyataan hasutan yang juga bersifat perkauman. Beliau (Sanusi) sering kali tidak bercakap dengan fakta. Buka mulut saja, bohong. Sikap yang tidak baik bagi seorang Menteri Besar, tidak patut beliau berkelakuan seperti itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.
Sabtu lalu, Sanusi dalam ucapan semasa Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap di Pejabat Pas Kawasan Nibong Tebal, mendakwa Kerajaan Negeri Pulau Pinang pilih kasih dalam agihan bekalan air dengan membiarkan masalah air berlarutan di kawasan-kawasan majoriti Melayu.
“Kenapa air tidak ada di kawasan ini (Nibong Tebal)? Kenapa tidak ada (air) di kawasan Tanjong? Belah sana (pulau), ada masalah air? Tidak ada.
“Sini kawasan tok-tok lebai, orang kulit macam saya, mereka tidak peduli perihal anda. Kawasan macam ini sahaja ada masalah. Sini 60 peratus orang macam saya. Tempat mereka maha kaya, rumah RM1 juta sebiji, ada masalah air? Tidak ada,” katanya.
Pada Ahad, Kon Yeow mengakui Pulau Pinang sedang berdepan cabaran air di beberapa kawasan tertentu namun pada keseluruhannya beliau berkata, pembekalan air masih terjamin keselamatannya.
Tambahnya, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sudah pun melaksanakan lapan projek untuk memastikan bekalan air dapat dipulihkan di semua kawasan yang terkesan termasuk di sebahagian Sungai Bakap menjelang 2028.
Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akan melalui Pilihan Raya Kecil (PRK), dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini.
Tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.
Sumber : Astro AWANI

