
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) tidak pernah menghalang atau menyekat pelaksanaan ibadah korban sempena Aidiladha di negeri itu.
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, berkata pihaknya mengambil maklum isu tular membabitkan halangan pelaksanaan korban di Surau Wardah yang terletak dalam kawasan Kondominium The Rise Collection 2 di Jalan Dr Wu Lien Teh, di sini, baru-baru ini.
“Sebagai pencerahan awal, tidak pernah ada halangan untuk ibadah korban sempena Aidiladha dijalankan di Pulau Pinang dari kerajaan negeri mahupun MAINPP.
“Bagi berita yang tular berkenaan ibadah korban dihalang di Kondominium The Rise Collection 2, ia adalah sepenuhnya keputusan di bawah bidang kuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) kondominium berkenaan.
“Saya telah memanggil tiga wakil JMB Kondominium The Rise Collection 2 ke Pejabat Timbalan Ketua Menteri 1 berhubung isu berkenaan dan satu pertemuan telah diadakan pada jam 5 petang, Ahad lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
EXCO Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat negeri itu berkata, dalam pertemuan berkenaan beliau telah memohon dan menasihati pihak JMB kondominium agar mempertimbangkan keputusan yang telah dibuat serta berbincang secara harmoni dengan Ahli Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Al-Wardah.
“Saya berharap semoga pihak JMB kondominium dan pengurusan Surau Al-Wardah dapat mencapai kata sepakat yang terbaik untuk menyelesaikan isu tersebut,” katanya.
Sementara itu, berdasarkan sepucuk surat bertarikh 31 Mei 2024 yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIPP) jabatan itu menghargai usaha pihak surau menganjurkan majlis korban namun menyatakan peraturan harta strata perlu dipatuhi sewajarnya.
JHEAIPP sehubungan itu menyarankan pengurusan surau mengadakan sembelihan korban di mana-mana masjid atau surau dibenarkan dengan pengagihan daging kepada penerima boleh dilakukan di surau berkenaan.
Sementara itu, Imam Surau Al-Wardah, Mohd Thahir Sheikh Ali ketika dihubungi berkata, beliau optimis pelaksanaan aktiviti sembelihan korban yang dirancang dapat diteruskan dengan setakat ini 10 ekor kambing telah ditempah.
“Insya-Allah kami mempunyai keyakinan program itu dapat diteruskan dengan kami telah menerima pendaftaran daripada 10 peserta justeru kami berharap sangat ia dapat berjalan seperti yang telah dirancang.
“Sebenarnya perkara itu masih dalam fasa perbincangan dan kami turut berharap dapat berunding dengan pihak JMB dalam masa terdekat bagi meredakan suhu isu ini sekali gus menjayakan pelaksanaan ibadah korban seperti tahun-tahun sebelum ini,” katanya.
Terdahulu, video memaparkan kenyataan pihak jemaah Surau Al-Wardah di The Rise Collection 2 mendakwa dihalang untuk menjalankan ibadah korban di dalam kawasan terbabit tular di media sosial sejak Sabtu lalu.
Sumber : Berita Harian

