
Kuala Lumpur : Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menyerbu beberapa buah premis milik syarikat dan syarikat Amanah yang mendalangi skim pelaburan haram yang dikenali sebagai Kenaf Development Fund (KDF). Serbuan dijalankan susulan aduan diterima daripada pelabur KDF yang tidak berpuashati dengan pihak syarikat kerana telah gagal membayar pulangan seperti yang dijanjikan.
Operasi dijalankan serentak di tiga lokasi berbeza iaitu di KL Sentral, Petaling Jaya dan Seberang Perai dengan kerjasama daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Cyber Security Malaysia.
Skim Pelaburan KDF mula ditawarkan kepada orang awam pada sekitar September 2021 hingga Januari 2023 dan telah mengaut hampir RM140 juta daripada 1,919 orang pelabur.
Modus operandi Skim Pelaburan KDF ialah pelabur dijanjikan dengan pulangan sekitar 3% sebulan dan selepas 12 bulan, pelabur akan menerima semula wang pelaburan mereka. Dikatakan skim pelaburan KDF ini dianjurkan bagi membiayai projek penanaman pokok kenaf di Cuping, Perlis.
Siasatan awal turut mendapati Skim Pelaburan KDF ini tidak berdaftar di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 serta Ketua Pegawai Eksekutif syarikat yang mendalangi Skim Pelaburan KDF adalah merupakan seorang individu bankrap.
Siasatan dijalankan bagi kemungkinan kesalahan di bawah Seksyen 43 Akta Syarikat 2016, Seksyen 198 Akta Syarikat 2016, Seksyen 213 Akta Syarikat 2016 dan Seksyen 3 Akta Skim Kepentingan 2016.
Hasil daripada operasi serbuan tersebut, pihak SSM telah menyita rekod-rekod akaun syarikat, dokumen-dokumen berkaitan penganjuran KDF dan telefon bimbit milik suspek.
SSM memandang serius kesalahan membabitkan penganjuran skim pelaburan yang mengumpul deposit daripada orang awam tanpa kelulusan atau lesen yang sah.
SSM turut ingin mengingatkan orang awam agar sentiasa berhati-hati ketika menilai peluang pelaburan, terutamanya yang menjanjikan pulangan yang sangat tinggi dengan risiko yang rendah atau tanpa risiko.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi SSM Customer Care (SSMCC) di bahagian Aduan & Maklumbalas, SSM Chatbot, Live Chat SSM yang boleh diakses melalui portal rasmi SSM, talian telefon 03-7721 4000 atau emel ke enquiry@ssm.com.my.
Sumber : SSM

