PULAU PINANG, 27 Oktober 2025 : Edisi ketiga Alliance Bank Heritage Run 2025 mencatatkan penyertaan tertinggi sejak penganjurannya apabila seramai 5,500 peserta menyertai acara yang berlangsung di George Town, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam, berkata sambutan luar biasa itu mencerminkan komitmen masyarakat terhadap gaya hidup sihat serta kelestarian alam sekitar.
“Larian warisan ini mencerminkan dedikasi kami untuk membina komuniti yang lebih bersatu dan mempromosikan kehidupan lestari.
“Melalui acara ini, kami bukan sahaja menghormati warisan budaya George Town, malah menggalakkan tindakan kolektif untuk memelihara legasinya buat generasi akan datang,” kata Kelle dalam satu kenyataan.
Penganjuran kali ini memperkenalkan kategori separuh maraton sejauh 21 kilometer (km), sekali gus memberikan cabaran baharu kepada pelari berpengalaman.
Selain separuh maraton, tiga kategori lain turut dipertandingkan iaitu lari kompetitif 12km, lari 7km dan Larian Keluarga 3km, bagi menggalakkan penyertaan pelbagai peringkat umur.
Berlatarbelakangkan keindahan tapak warisan dunia UNESCO George Town, peserta berpeluang menyusuri jalan-jalan bersejarah dan mercu tanda ikonik sambil menyemarakkan semangat kesihatan, perpaduan dan kelestarian.
Dalam kategori lelaki 21km, David Kibet muncul juara diikuti Ow Yong Jin Kuang dan Yeow Ni Jia, manakala Ong Ee Ling menjuarai kategori wanita di depan Wong Mi-Chi dan Yee Pei Ni.
Bagi kategori lelaki 12km, Joshua Loh Yixun dinobatkan sebagai juara, menewaskan Mohd Faizul Muhaieddin dan Muhammad Haziq Danish. Kategori wanita pula dimenangi Alicia Toh Chia Yin, diikuti Lim Pei Ting dan Jacklyn Sabastian.
Sumber : Berita Harian

