GEORGETOWN: Galeri Seni Lin Xiang Xiong, mercu tanda budaya baharu bernilai kira-kira RM100 juta di The Light Waterfront, Gelugor, kini memasuki fasa akhir persiapan menjelang pembukaannya pada 14 Disember ini. Pembinaan galeri lapan tingkat itu telah siap sepenuhnya dan kerja pemasangan lebih 300 karya seni sedang giat dijalankan.
Galeri ini dijangka menjadi simbol keyakinan budaya serta hubungan global Malaysia. Seni binanya yang diinspirasikan oleh bentuk penyu melambangkan umur panjang, kebaikan dan kemakmuran dalam budaya Cina, selain menjadi ikon semula jadi Pulau Pinang. Reka bentuk itu menyerlahkan gabungan antara alam, seni dan falsafah.
Dengan keluasan 86,929 kaki persegi, galeri ini berpegang pada falsafah “Seni untuk Keamanan” yang diilhamkan oleh pengasasnya, Profesor Lin Xiang Xiong – seorang artis, usahawan dan pejuang keamanan melalui seni. Galeri ini dibayangkan sebagai ruang hidup yang menghubungkan manusia merentasi sempadan geografi, sejarah dan pandangan, sambil memupuk empati serta refleksi terhadap keamanan sejagat.
Lebih 300 karya seni asli akan dipamerkan secara kekal, disertai koleksi berputar melebihi 1,000 karya yang menjejaki perjalanan kreatif enam dekad Profesor Lin di Asia dan Eropah.
Selain pameran tetap, galeri ini akan menganjurkan simposium antarabangsa, pameran artis jemputan dan program pendidikan untuk memperkukuh dialog antara Timur dan Barat melalui bahasa kreativiti. Beberapa aras bangunan turut menempatkan ruang pejabat, kedai dan restoran, menjadikan seni sebahagian daripada kehidupan seharian serta menawarkan pemandangan indah pantai Pulau Pinang.
Profesor Lin sebelum ini terkenal di peringkat antarabangsa sebagai penyokong kuasa seni dalam membina perpaduan. Pada 2016, beliau menganjurkan pameran UNESCO bertajuk “Seni untuk Keamanan – Dialog Budaya antara Timur dan Barat”, yang menyeru artis bertindak sebagai pendamai global.
Apabila dibuka Disember ini, Galeri Seni Lin Xiang Xiong dijangka menjadi destinasi seni dan budaya unggul Malaysia — menggabungkan seni bina berinspirasikan lautan dengan pengalaman reflektif yang mendalam.
Sumber : Berita Harian

