GEORGE TOWN – Pulau Pinang berpotensi menjadi negeri pertama di Malaysia perkenalkan teknologi penanaman padi ratun (ratoon rice) dari China, iaitu suatu kaedah yang membolehkan padi dituai dua kali dengan hanya sekali tanam.
Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata, teknologi tersebut diperkenalkan oleh Fujian Agriculture and Forestry University (FAFU), sebuah institusi penyelidikan pertanian utama di wilayah Fujian, China.

“Semasa lawatan saya ke wilayah Fujian baru-baru ini, selain menandatangani memorandum persefahaman, saya juga sempat melawat ke beberapa lokasi untuk melihat teknologi pertanian di sana, khasnya penanaman padi.
“Saya berpandangan bahawa teknologi penanaman padi ratun berpotensi meningkatkan produktiviti padi sekiranya berjaya dilaksanakan di sini.
“Saya juga telah mengemukakan permohonan kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk meneroka teknologi ini bersama, termasuk kemungkinan kerjasama bagi mengimplimentasikannya di Malaysia, khasnya di Pulau Pinang.
“(Dan) jika berjaya, ia akan membuka lembaran baharu dalam industri pertanian padi negara,” katanya ketika ditemui di Setia SPICE Convention Centre pada 22 September 2025.

Menurut Fahmi, sebagai makanan ruji rakyat Malaysia adalah wajar untuk pihak kerajaan meneroka pendekatan yang lebih inovatif dalam meningkatkan hasil pengeluaran padi.
“Justeru, saya juga telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi mendapatkan peruntukan penaiktarafan sistem pengairan dan infrastruktur penanaman padi di Pulau Pinang.
“Pada masa ini, kita masih menggunakan kaedah tradisional iaitu sekali tanam sekali tuai yang mana saya percaya dengan teknologi padi ratun ini, kita boleh menuai dua kali dalam tempoh masa singkat dengan sekali tanam sahaja.
“Saya yakin dengan aplikasi teknologi baharu ini, Pulau Pinang akan terus menyumbang terhadap produktiviti padi di Malaysia,” jelasnya.

Selain melawat ke lokasi penanaman padi, Fahmi memberitahu bahawa beliau turut dibawa melihat teknologi pengurusan perikanan berasaskan digital.
“Pemantauan secara digital menggunakan sistem gambar masa nyata atau ‘real-time imaging system’ membolehkan aktiviti nelayan dipantau termasuk jumlah tangkapan ikan dan pendaftaran vessel.
“Teknologi ini juga dilihat berpotensi untuk dibawa masuk ke Pulau Pinang sebagai usaha meningkatkan keberkesanan pengurusan nelayan dan hasil laut,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden CEAP, Lee Eng Wah ketika ditemui berkata, lawatan lima hari ke Fujian itu amat bermakna dan memberi input mengenai teknologi pertanian moden.
“Lawatan tersebut amat bermakna kerana memberi pendedahan terhadap kaedah moden dalam pertanian dan perikanan yang mampu dimanfaatkan untuk pembangunan sektor berkenaan di Pulau Pinang serta Malaysia.
“Malah, ketika di sana, kami dimaklumkan bahawa berdasarkan keadaan cuaca dan persekitaran di negara ini, teknologi penanaman padi tersebut bukan sahaja membolehkan kita menuai padi dua kali malah mungkin lebih daripada itu.
“Jadi, saya juga bersetuju sekiranya Pulau Pinang dijadikan sebagai projek perintis bagi kaedah penanaman padi ini,” katanya.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT & EXCO
Sumber : Buletin Mutiara

