GEORGE TOWN – Bayi perempuan berusia 15 hari antara 20 kanak-kanak diselamatkan dalam satu operasi khas dijalankan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di dua premis berasingan sekitar Seberang Perai Tengah pada 21 Julai lalu.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Pulau Pinang, Lim Siew Khim berkata, kesemua kanak-kanak terbabit telah dikategorikan sebagai Kanak-Kanak Yang Memerlukan Pemeliharaan dan Pelindungan di bawah Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
“Dalam operasi itu kita menyelamatkan 10 kanak-kanak lelaki dan 10 kanak-kanak perempuan berusia antara 15 hari hingga 16 tahun.
“Daripada jumlah itu, 12 kanak-kanak tiada dokumen sijil kelahiran, empat mempunyai dokumen pengenalan sah, satu bayi belum didaftarkan kelahirannya dan dua telah diserahkan kepada keluarga terdekat,” katanya pada sidang media di sini pada 28 Julai 2025.

Tambah Siew Khim, hasil siasatan awal mendapati sebahagian daripada mereka tidak mempunyai penjaga sah dan dipercayai tidak menerima keperluan asas mencukupi seperti makanan, pakaian serta tempat tinggal yang selamat.
“Semua mereka telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk pemeriksaan kesihatan dan kini ditempatkan di institusi yang diwartakan sebagai Tempat Selamat dengan perintah jagaan sementara daripada Mahkamah Bukit Mertajam.
“JKM turut menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi menyelaras isu dokumentasi dan menyiasat latar belakang setiap kanak-kanak secara berfasa dengan sokongan pelbagai agensi.
“Kerajaan Negeri komited untuk memastikan keselamatan serta hak semua kanak-kanak terus terpelihara. Saya juga menyeru orang ramai agar segera melaporkan sebarang kes pengabaian atau penderaan kepada JKM atau Talian Kasih 15999,” katanya.
Mengulas lanjut, Siew Khim turut menasihatkan orang awam agar tidak membuat andaian atau menyebar maklumat tidak sahih kerana kes masih dalam siasatan polis.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang, Rozita Ibrahim memaklumkan operasi itu dilakukan hasil maklumat awam yang diterima sejak hujung tahun lalu sebelum pasukan JKM menjalankan pemantauan dan risikan selama beberapa bulan.
“Semasa serbuan, terdapat lima individu dewasa dipercayai penjaga yang kini sedang disiasat pihak polis. Secara keseluruhan selain kanak-kanak itu kita turut selamatkan seorang wanita yang terdiri daripada pelbagai warganegara yang mana mereka boleh memahami bahasa Melayu namun lebih cenderung bertutur dalam bahasa Mandarin.
“Selain itu, dua kanak-kanak didapati berada dalam keadaan kurang sihat, manakala tiada kesan penderaan fizikal dikesan pada tubuh mereka namun unsur pengabaian jelas wujud berdasarkan keadaan persekitaran dan penjagaan,” katanya. – MalaysiaGazette
Sumber : Malaysia Gazette

