BAYAN BARU – BAYAN BARU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik berkata Pulau Pinang terus kekal sebagai destinasi strategik pelaburan sektor pembuatan berteknologi tinggi apabila berjaya menarik pelaburan bernilai RM6.7 bilion dalam sektor itu bagi suku pertama tahun ini.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Electronics Manufacturing Expo Asia (EMAX 2025) edisi kelima yang berlangsung dekat Pusat Konvensyen Setia SPICE di sini, semalam.

“Pulau Pinang mempunyai ekosistem pembuatan melebihi 50 tahun dan digelar sebagai “Silicon Valley of the East”.
“Pada tahun 2023, kita menyumbang hampir 40 peratus daripada eksport domestik negara,” ujarnya semasa berucap di hadapan pemain industri dan delegasi antarabangsa.
Hadir sama, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NRG Exhibitions dan Fireworks Trade Media Group, Kenny Yong; Penasihat EMAX dan PMAX, Philip Vincent; Timbalan Ketua Pengarah Hal Ehwal Asia, Kementerian Perdagangan Republik Rakyat China, Yin Gang; perdagangan.
Pameran selama tiga hari itu menyaksikan penyertaan lebih 200 reruai pameran daripada 40 buah negara, sekali gus menjadi platform strategik untuk merangsang kerjasama rentas sempadan dalam bidang inovasi, automasi serta kelestarian dalam sektor elektronik dan pembuatan serantau.

Choon Aik turut menegaskan bahawa aspek pembangunan modal insan berkemahiran tinggi juga harus diberikan perhatian dalam perancangan jangka panjang.
“Usaha ini adalah selari dengan hala tuju Pulau Pinang untuk beralih daripada Industri 4.0 kepada Industri 5.0 yang lebih berteraskan inovasi berpusatkan manusia dan kelestarian.

“Kita boleh buka tanah industri dan tarik pelabur tetapi jika tiada jurutera atau juruteknik mahir, kita tetap akan berdepan kekangan.
“Oleh itu, bakat juga adalah cabaran utama, bukan sekadar tanah atau harga tanah,” jelasnya.
Mengulas mengenai tumpuan industri di Batu Kawan, Choon Aik berkata kawasan itu kini berkembang pesat bukan sahaja dalam bidang elektrik dan elektronik (E&E), tetapi juga peranti perubatan dan tenaga boleh baharu, khususnya pelaburan dari China.
Beliau juga mengakui bahawa infrastruktur luar kawasan industri perlu dipertingkat, termasuk isu kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di sekitar Batu Kawan.
“Kita berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat mempercepatkan usaha penaiktarafan sistem jalan raya dan kemudahan berkaitan di sini,” serunya.
Beliau turut menyentuh usaha pengukuhan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada peringkat sekolah rendah dan menengah.
“Perkara ini memerlukan kerjasama berterusan daripada institusi seperti Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) dan Walta Center of Excellence (WCOE) Batu Kawan College dalam memastikan bakat tempatan kekal di negeri ini.
“Setiap tahun, kita sasarkan untuk melatih seramai 1,000 graduan melalui akademi seperti PSDC, USM dan kolej-kolej di Pulau Pinang,” katanya lagi.
Oleh: M. DANESWARAN
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD
Sumber : Buletin Mutiara