KEPALA BATAS, 10 Jun – Proses penaiktaraf Masjid Al-Jami’ul Badawi, Permatang Bertam, perlu dilaksanakan dengan mematuhi prosedur ditetapkan dan tadbir urus baik bagi memastikan kelancaran projek serta menyelesaikan isu-isu berkaitan, terutamanya berhubung status tanah wakaf masjid menurut Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, YB Dato’ Mohamad Abd Hamid.
Mesyuarat membincangkan penaiktarafan masjid ini telah diadakan baru-baru ini, dipengerusikan oleh beliau sendiri anak tempatan yang juga membesar di kampung ini. Mesyuarat turut disertai lawatan tapak untuk meneliti kawasan yang akan dinaik taraf.
Masjid Al-Jami’ul Badawi bukan sahaja mercu tanda kariah Permatang Bertam, tetapi juga mempunyai nilai sejarah penting sebagai lokasi penubuhan Sekolah Daeratul Maa’rifil Wataniah (DMW) oleh Syeikh Abdullah Fahim pada tahun 1926 menurut ADUN Batu Maung itu melalui paparan di Facebooknya.


Menurut Yang diPertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang itu juga, penaiktarafan masjid ini bukan sekadar melibatkan aspek teknikal pembinaan dan pembiayaan, tetapi juga memerlukan perbincangan terperinci berkaitan hukum syarak, khususnya isu tanah wakaf yang telah lama menjadi tumpuan.
“Untuk memastikan kelancaran projek ini, semua agensi dan pemegang taruh berkaitan perlu bekerjasama supaya penaiktarafan dapat dilaksanakan dengan telus dan tidak menimbulkan sebarang isu pada masa depan,” katanya.


Selain itu, beliau yang juga berketurunan kampung ini berjanji akan berusaha memastikan projek penaiktarafan masjid diselesaikan dengan jayanya demi manfaat kariah setempat.
Turut hadir dalam mesyuarat dan lawatan tapak tersebut ialah delegasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) yang diketuai Pengarahnya, Ustaz Marzuki Hassan; pasukan Pejabat Daerah Seberang Perai Utara di bawah Pegawai Daerah, Encik Hafiz Aswad; Jabatan Kerja Raya Daerah Seberang Perai Utara; Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang; serta Jawatankuasa Kariah Masjid Jami’ul Badawi yang diketuai Dato’ Haji Shariful Azhar Othman.
Projek penaiktarafan ini dijangka memberi nafas baru kepada masjid bersejarah ini, sekaligus memelihara warisan keagamaan dan budaya yang telah bertahan selama hampir satu abad.


