GEORGETOWN: Malaysia berhasrat mengetengahkan lima usul untuk dibincangkan pada Sesi Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) 2025 di sini yang bermula hari ini, dalam usaha memperkukuh keselamatan dan keharmonian negara serantau.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata usul itu merangkumi teknologi kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, soal keselamatan maritim khususnya di Laut China Selatan, cadangan pembentukan pasukan bencana ASEAN, kerjasama dalam pembangunan industri pertahanan serantau dan ancaman bukan tradisional.
“Berhubung AI dan keselamatan siber, penentuan keselamatan dan pertahanan negara akan sangat dipengaruhi penggunaan teknologi termasuk AI pada masa hadapan. Namun penyalahgunaan teknologi berkenaan dikhuatiri boleh menimbulkan ancaman kepada sesebuah negara.
“Oleh sebab itu, Malaysia merasakan bahawa kita perlu membincangkan perkara ini bersama-sama supaya kita dapat melihat perbezaan antara setiap negara serta mencapai pemahaman mengenai penggunaan AI dan sebagainya.
“Kita tahu bahawa AI dan teknologi baharu akan menjadi ciri utama dalam sektor pertahanan, yang pasti akan meningkatkan kecekapan.
“Namun jika tidak dikawal, ia juga boleh mendatangkan bahaya kepada mana-mana negara dan perkara ini perlu diteliti dengan lebih mendalam,” katanya selepas sesi tinjauan mesra sempena penganjuran ADMM di sini, semalam.
Mengenai usul kedua, Mohamed Khaled menyifatkan isu keselamatan maritim kekal menjadi kebimbangan utama bagi ASEAN termasuk isu Laut China Selatan yang dilihat sudah menjadi medan perebutan kuasa antara beberapa negara.
Justeru, beliau berkata, Malaysia mahu mengelakkan konflik di kawasan seperti Laut China Selatan dan pada masa sama adalah penting untuk memastikan kebebasan pelayaran serta kebebasan laluan di perairan serantau.
Menurutnya, Malaysia turut melihat keperluan menegakkan undang-undang antarabangsa berhubung penggunaan laluan perairan dan kebebasan pelayaran di kawasan Laut China Selatan dan pada masa sama memastikan penempatan aset ketenteraan yang minimum di perairan itu.
“Kita juga perlu mengelak kawasan ini daripada menjadi medan perebutan kuasa besar dan perlu membincangkan perkara ini bersama-sama supaya kita boleh mencapai satu pandangan yang dapat memastikan ASEAN dapat menangani isu ini dengan baik,” katanya.
Berhubung usul pembentukan pasukan bantuan bencana ASEAN, Mohamed Khaled berkata memandangkan perubahan iklim telah meningkatkan kekerapan bencana alam, Malaysia berharap cadangan itu itu dapat menangani kecemasan dengan lebih berkesan.
Menurutnya, pasukan bakal ditubuhkan itu akan dapat berfungsi sebagai unit khas yang dapat digerakkan segera ke kawasan terjejas bagi memberikan bantuan diperlukan secara efektif.
“Hari ini, jika kita bercakap tentang pasukan pengaman, kita memang sudah ada, tetapi ia hanya melibatkan kerjasama antara beberapa negara ASEAN sahaja, bukan keseluruhan.
“Kita tahu bahawa jika kita ingin menubuhkan pasukan pengaman ASEAN, ia mungkin tidak mudah. Jika kita masih ingat, semasa (konflik) di Lubnan, Malaysia dan Brunei telah menubuhkan pasukan pengaman bersama.
“Namun, kita merasakan bahawa untuk mencapai persefahaman lebih mendalam antara negara ASEAN dalam sektor pertahanan, kita boleh mempertimbangkan untuk mewujudkan pasukan bantuan bencana memandangkan ketidaktentuan cuaca dan sebagainya,” katanya.
Mohamed Khaled berkata bagi usul keempat yang turut menjadi tumpuan Malaysia ialah bagaimana negara ASEAN boleh mencapai kerjasama lebih erat dalam pembangunan industri pertahanan tempatan dengan ketika ini sudah wujud kerjasama dua hala antara negara dalam beberapa bidang berkaitan industri pertahanan tempatan.
“Mungkin kerjasama ini boleh diperluaskan ke negara-negara ASEAN. Misalnya, dalam pembinaan standard serta memastikan kita boleh membangunkan rantaian bekalan untuk keperluan pertahanan ASEAN,” katanya.
Sumber : Berita Harian

