GEORGETOWN: Malaysia sekali lagi menegaskan pendiriannya dalam menyokong gencatan senjata berhubung konflik Palestin-Israel dan mahu semua pihak terbabit mematuhinya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang melaungkan pendirian negara itu, berharap tidak ada sebarang pelanggaran terhadap gencatan senjata berkenaan.
“Kami menyokong gencatan senjata dan berharap semua pihak mematuhi keputusan itu. Kita tahu ada pelanggaran, tetapi kita tetap berharap tiada pelanggaran gencatan senjata.
“Bagi Malaysia, pendirian kami sangat jelas dalam hal ini. Saya tidak bercakap mengenai pendirian ASEAN dalam soal ini (Palestin) tetapi pendirian Malaysia,,” katanya selepas meninjau persiapan Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di sini, semalam.
Mohamed Khaled berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mengenai pendirian ASEAN berhubung gencatan senjata yang dilanggar Israel.
Media sebelum ini melaporkan beberapa kediaman penduduk Palestin di bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza terbakar semalam selepas terkena tembakan tentera Israel.
Menurut saksi, dron dan kereta kebal Israel melepaskan tembakan ke tengah Rafah, menyebabkan beberapa rumah musnah dalam kebakaran dengan serangan turut dilaporkan di bahagian timur Gaza City, namun tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.
Serangan baharu itu berlaku meskipun perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan dikuatkuasakan bulan lalu, yang menghentikan serangan ganas Israel selepas mengorbankan lebih 48,300 nyawa dan memusnahkan Gaza.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled ketika diminta mengulas mengenai konflik Rusia-Ukraine berkata Malaysia sehaluan dengan pendirian ASEAN yang mahukan penyelesaian damai.
“Pendirian ASEAN tidak berubah, dan kami berpegang kepada pendirian pemimpin kami bahawa kami mahu konflik ini diselesaikan secara damai,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled meluangkan masa kira-kira sejam meninjau persediaan menyambut lebih 150 delegasi dari 10 negara ASEAN itu.
Pulau Pinang menjadi tuan rumah kepada 13 mesyuarat utama sepanjang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, membabitkan perbincangan peringkat kerja, pegawai kanan dan menteri yang dilaksanakan tujuh kementerian.
Sumber : Berita Harian

