Friday, May 15, 2026
UtamaBeritaUsaha selamat orang papa hidap sakit mental, ketagih dadah di Pulau Pinang

Usaha selamat orang papa hidap sakit mental, ketagih dadah di Pulau Pinang

Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang dalam proses menubuhkan jawatankuasa dan mengembangkan garis panduan khusus bagi membantu menangani populasi masalah gelandangan di negeri ini.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, langkah itu turut membabitkan golongan papa terdiri daripada pengemis dan peleser yang dikesan menghidap penyakit mental dan isu penyalahgunaan dadah.

“Berdasarkan rekod, seramai 33 individu papa menghadapi masalah mental diselamatkan setakat September lalu, berbanding masing-masing 20 dan 14 orang pada 2023 dan 2022.

“Seramai 14 orang papa yang diselamatkan dan dikesan terbabit dalam penagihan dadah setakat September lalu, dan masing-masing tujuh serta 11 orang pada 2023 dan 2022,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini, pada semalam.


Daniel (PH-Padang Lalang) berkata demikian bagi menjawab soalan Chee Yee Keen (PH-Bagan Jermal) mengenai apakah kekangan dihadapi dalam menyalurkan bantuan kepada golongan papa yang berdepan masalah kesihatan mental, HIV dan masalah penagihan dadah.

Beliau turut menjelaskan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertanggungjawab mengambil dan memulihkan orang papa (pengemis dan peleser) berdasarkan peruntukan mengikut Akta Orang-Orang Papa 1977 [Akta 183].

Menurutnya, JKM tidak mempunyai kuasa mengambil dan membantu orang papa terdiri daripada kes bukan warganegara, pemegang kad UNCHR, kes disyaki berpenyakit mental; masalah kesihatan kronik serta penyakit berjangkit; penagih dadah; hidu gam; ketagihan alkohol dan mengutip derma tanpa kelulusan.

“Namun begitu, JKM akan menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bagi membantu memberi rawatan dengan JKNPP akan mengenal pasti pesakit dan dirujuk kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP) untuk tindakan lanjut.

“Dalam hal ini, pesakit yang mempunyai masalah kesihatan kronik akan dirujuk ke klinik pakar atau klinik kesihatan terdekat mengikut keperluan bagi rawatan lanjut,” katanya.

Sumber : Harian Metro

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments