Seramai 453 pelajar dari kawasan Parlimen Batu Kawan menerima Anugerah Pelajar Cemerlang bagi sesi persekolahan 2025 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik mereka.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, program yang memasuki tahun keempat penganjurannya itu melibatkan 375 murid sekolah rendah, 29 pelajar Tingkatan Satu hingga Empat, 44 calon SPM yang memperoleh sekurang-kurangnya 8A serta lima pelajar STPM dengan PNGK 3.7 ke atas.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian anugerah di Holiday Inn & Suites Penang Prai.
Dalam perkembangan berkaitan, Chow memaklumkan bahawa prestasi pendidikan Pulau Pinang terus menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila 16,545 calon atau 92.26 peratus layak menerima sijil SPM 2025, termasuk 725 calon memperoleh semua A dan 25 calon mencatat semua A+.
Keputusan STPM 2025 turut merekodkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) negeri tertinggi sebanyak 2.99, meningkat berbanding 2.96 pada tahun sebelumnya.
Kerajaan Negeri turut memperkukuh sokongan pendidikan melalui pelaksanaan modul latihan literasi intensif untuk murid khususnya keluarga B40, selain peruntukan tambahan RM4.6 juta bagi menaik taraf infrastruktur 27 institusi pendidikan Islam dengan sokongan Kerajaan Persekutuan.
Pelaksanaan Biasiswa Kecil Negeri 2026 juga diteruskan bagi meringankan beban keluarga.
Chow menegaskan bahawa kecemerlangan pelajar bukan hanya diukur melalui keputusan peperiksaan, tetapi turut merangkumi sahsiah, disiplin dan nilai kemanusiaan demi melahirkan generasi yang mampu menyumbang kepada masyarakat, negeri dan negara.

