Kejohanan Ping Pong Antara Sekolah Piala Ketua Menteri Pulau Pinang 2026 edisi keenam bakal berlangsung pada 17 hingga 18 Oktober 2026, melibatkan 300 pasukan dan 701 pemain dari 73 sekolah di seluruh negeri.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow turut menyalurkan peruntukan RM50,000 bagi menyokong penganjuran kejohanan yang bertujuan menggalakkan penyertaan pelajar dalam sukan serta mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Kejohanan anjuran Persatuan Ping Pong Pulau Pinang, dengan sokongan Pejabat Ketua Menteri, Majlis Sukan Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri, akan diadakan di Pusat Latihan Persatuan Ping Pong Pulau Pinang, Jalan Macalister (五条路).
Sebanyak enam kategori pertandingan dipertandingkan, melibatkan acara berpasukan lelaki dan perempuan bawah 10, 12 serta 15 tahun.
Pencapaian peserta turut diambil kira dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), manakala sekolah yang menunjukkan prestasi keseluruhan terbaik akan menerima Piala Cabaran Ketua Menteri.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Dato’ Ang Eng Thye, memaklumkan bahawa penyertaan meningkat ketara berbanding edisi pertama pada 2019 yang hanya melibatkan 147 pasukan dan 347 pemain dari 51 sekolah.
Sebanyak 20 meja pertandingan akan disediakan bagi menampung jumlah peserta, manakala sekitar 1,000 pengunjung termasuk pemain, guru, jurulatih dan ibu bapa dijangka hadir sepanjang dua hari kejohanan.
Penganjuran ini diharap dapat memperkukuh pembangunan sukan ping pong di peringkat sekolah serta melahirkan lebih ramai atlet berpotensi mewakili Pulau Pinang pada masa hadapan.

