Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan lebih RM2 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek infrastruktur bekalan air untuk memastikan keperluan penduduk dan sektor industri terus mencukupi dalam tempoh dua hingga tiga dekad akan datang.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, antara langkah utama ialah pembinaan loji rawatan air baharu serta perancangan mendapatkan bekalan air mentah dari Perak bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran air negeri.
Menurut beliau, dua loji rawatan air kini telah mencapai kira-kira 50 peratus kemajuan pembinaan, manakala beberapa projek lain dijangka dimulakan tidak lama lagi.
Keseluruhan inisiatif tersebut disasarkan mampu menambah kapasiti pengeluaran air sebanyak 500 juta liter sehari menjelang 2030.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut menandatangani perjanjian dengan Kerajaan Perak bagi mendapatkan bekalan air dari Sungai Perak, yang dijangka menyumbang tambahan 300 juta hingga 500 juta liter sehari untuk membantu menjamin keselamatan bekalan air Pulau Pinang sehingga 2040.
Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Negeri turut melaksanakan projek tebatan banjir utama di bahagian pulau dan Seberang Perai dengan kos keseluruhan sekurang-kurangnya RM1 bilion.
Zairil berkata demikian ketika merasmikan IMT-GT Engineering Economy Convention (EEC) 2026 di Hotel Iconic Marjorie, Bayan Lepas.
Beliau menegaskan bahawa pelaburan infrastruktur dan penyelesaian kejuruteraan yang terancang amat penting bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, pembangunan industri serta kesejahteraan rakyat Pulau Pinang dalam jangka panjang.

