Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan rakyat bagi menghadapi cabaran masa depan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, sektor perindustrian negeri dijangka kekal rancak dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, didorong permintaan tinggi terhadap produk semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI), dengan sesetengah kilang kini menerima tempahan sehingga lima tahun ke hadapan.
Dalam aspek infrastruktur, projek utama seperti LRT Laluan Mutiara dan Lebuh Raya Bertingkat Juru–Sungai Dua dijangka meningkatkan kelancaran pengangkutan serta menyokong pertumbuhan ekonomi.
Kerajaan Negeri turut melaksanakan sembilan projek bekalan air bernilai kira-kira RM2 bilion sehingga 2030, yang dijangka menambah kapasiti bekalan sehingga 600 juta liter sehari. Perancangan jangka panjang turut merangkumi penyaluran air dari Sungai Perak ke Pulau Pinang dengan sasaran bekalan antara 300 hingga 500 juta liter sehari.
Pada masa sama, Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada pembangunan modal insan melalui pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memenuhi keperluan industri masa depan.
Dalam aspek kebajikan, kira-kira RM100 juta diperuntukkan setiap tahun untuk pelbagai program bantuan kepada golongan yang layak dan memerlukan, selain usaha memastikan pembangunan negeri turut mengambil kira kesejahteraan masyarakat serta kepelbagaian agama dan budaya.

