Tiga daripada empat stesen pemantauan kualiti udara di Pulau Pinang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap Tidak Sihat setakat jam 7.00 pagi, 8 Oktober 2026.
Menurut kenyataan Exco Perumahan dan Alam Sekitar, YB Dato’ Seri Sundarajoo Somu, bacaan tertinggi dicatatkan di Seberang Perai (155), diikuti Minden (154) dan Seberang Jaya (152), manakala Balik Pulau (92) berada pada tahap Sederhana.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai masalah jantung dan pernafasan dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar yang berpanjangan sekiranya keadaan udara kekal tidak sihat.
Individu yang mengalami batuk, kesukaran bernafas atau ketidakselesaan pernafasan pula disaran mengelakkan aktiviti fizikal di luar dan mendapatkan nasihat perubatan jika gejala berterusan.
Kerajaan Negeri bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan terus memantau perkembangan bacaan IPU dari semasa ke semasa.
Orang ramai turut diseru mengelakkan pembakaran terbuka dan aktiviti yang menyumbang kepada pencemaran udara, selain menyemak bacaan terkini melalui portal rasmi JAS atau sistem MyEQMS/APIMS sebelum merancang aktiviti luar.

