Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan Jambori Pengakap Malaysia Ke-15 (MYJAM15) yang berlangsung di Bandar Cassia, di sini pada 29 Ogos ini.
Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pulau Pinang, Dato’ Haji Zulkafli Kamaruddin berkata, MYJAM15 yang membawa tema ‘Menjejak Warisan, Membina Masa Depan’ akan berlangsung sehingga 4 September depan.
Menurutnya, program berkenaan bakal menghimpunkan lebih 5,000 pengakap tempatan selain lebih 450 pengakap antarabangsa dari 11 negara termasuk Korea Selatan, Indonesia, Singapura dan Sri Lanka.
“MYJAM15 bukan sahaja menjadi medan perhimpunan pengakap dari dalam dan luar negara, malah turut menampilkan pelbagai aktiviti yang mengangkat nilai kebudayaan, kekeluargaan dan semangat persahabatan dalam kalangan peserta.
“Antara acara utama ialah Malam Kebudayaan yang dijadualkan berlangsung pada 1 September di Stadium Batu Kawan. Peserta dan pengunjung digalakkan mengenakan pakaian bertemakan Sarung Batik bagi memeriahkan acara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua Kem MYJAM15 berkata, Arena Jambori turut dibuka kepada orang awam dari 10 pagi hingga tengah malam setiap hari sepanjang berlangsungnya program itu.
Katanya, arena berkenaan menawarkan pelbagai tarikan termasuk gerai makanan, pameran, aktiviti kekeluargaan serta persembahan pentas, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk sama-sama menikmati kemeriahan MYJAM15.
Zulkafli berkata, penganjuran MYJAM15 kali ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila Pulau Pinang kembali menjadi tuan rumah jambori pengakap kebangsaan selepas 60 tahun.
“Pulau Pinang pernah menjadi lokasi Jambori Pengakap Malaysia yang pertama di Teluk Bahang pada tahun 1966. Justeru, penganjuran kali ini bukan sahaja menghidupkan kembali sejarah tersebut, malah menjadi platform untuk membina semangat generasi pengakap pada masa hadapan,” katanya.

