Pulau Pinang terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab utama teknologi perubatan (MedTech), dipacu sinergi kukuh antara industri elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta pembuatan termaju.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pengalaman lebih 50 tahun dalam bidang kejuruteraan berketepatan tinggi dan automasi menjadi asas penting kepada perkembangan pengeluaran instrumen pembedahan, implan serta peranti perubatan berteknologi tinggi di negeri ini.
Menurut beliau, daripada 12 syarikat MedTech dalam kelompok 30 terbesar dunia yang beroperasi di Malaysia, tujuh mempunyai operasi utama di Pulau Pinang, antaranya Abbott, Boston Scientific, B. Braun, Smith+Nephew, STERIS, Dexcom dan Intuitive. Pulau Pinang juga mempunyai lebih 20 syarikat MedTech tempatan.
Dari 2021 hingga suku pertama 2026, negeri ini berjaya menarik RM2.3 bilion pelaburan pembuatan dalam sektor peralatan saintifik dan pengukuran termasuk MedTech menerusi 40 projek yang mewujudkan hampir 4,500 peluang pekerjaan.
Berucap pada International Medical Device Exhibition and Conference (IMDEC) 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri mahu kehadiran syarikat global turut membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk membina keupayaan dan bergerak ke tahap lebih tinggi dalam rantaian nilai.
Pulau Pinang turut merekodkan RM429 bilion eksport pada separuh pertama 2026, bersamaan 44 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia, sekali gus mengukuhkan asas negeri untuk berkembang sebagai antara hab pembuatan peranti perubatan utama di peringkat global.

