Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberikan komitmen secara prinsip menerusi Belanjawan 2027 terhadap cadangan penubuhan Penang International Financial Centre (PIFC), yang dirancang sebagai pusat kewangan berteraskan teknologi bagi menyokong pertumbuhan industri semikonduktor dan teknologi negeri.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, usaha merealisasikan PIFC kini berjalan mengikut perancangan selepas pasukan petugas ditubuhkan pada awal tahun ini dan perunding dilantik.
Langkah seterusnya adalah menyiapkan Kertas Putih PIFC untuk dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) serta agensi berkaitan sebagai asas mendapatkan kelulusan penubuhannya.
Menurut Kon Yeow, PIFC bukan bertujuan bersaing dengan pusat kewangan seperti Kuala Lumpur, Labuan atau Johor Special Economic Zone (JS-SEZ), sebaliknya akan mempunyai identiti tersendiri berasaskan kekuatan Pulau Pinang sebagai hab teknologi dan semikonduktor.
Pusat kewangan itu dijangka membantu syarikat tempatan mendapatkan akses modal yang lebih baik bagi mengembangkan operasi dan meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai global.
Beliau berkata, Pulau Pinang telah mempunyai ekosistem industri kukuh merangkumi syarikat multinasional (MNC), kawasan perindustrian, infrastruktur, teknologi serta tenaga mahir.
Justeru, pengukuhan aspek pembiayaan menerusi PIFC dilihat mampu melengkapkan ekosistem sedia ada, terutama dalam membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkembang.
Kon Yeow optimis cadangan tersebut mempunyai prospek baik mengambil kira perkembangan pesat industri semikonduktor, ledakan kecerdasan buatan (AI) serta perubahan geopolitik global yang meningkatkan keperluan syarikat terhadap pembiayaan.
Sekiranya kelulusan secara prinsip diperoleh, Kerajaan Negeri akan memperincikan pelaksanaan PIFC termasuk peranan Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta penglibatan institusi kewangan berkaitan.

