Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan pembatalan kompaun kesalahan meletakkan kenderaan di luar petak yang dikeluarkan menerusi sistem Pengecaman Plat Nombor Automatik (ANPR).
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, selepas ini kesalahan parkir di luar petak akan dikuatkuasakan secara manual oleh pegawai PBT berdasarkan pemerhatian dan keadaan sebenar di lapangan.
Pembatalan itu bagaimanapun tidak melibatkan kesalahan di kawasan larangan parkir, larangan berhenti atau kenderaan yang menyebabkan halangan.
Pengguna yang telah membayar kompaun ANPR bagi kesalahan parkir di luar petak boleh membuat tuntutan bayaran balik sehingga 30 September 2026.
Bagi MBPP dan MBSP, pemohon perlu mengemukakan resit bayaran kompaun serta salinan penyata bank kepada PBT masing-masing. Bagi kompaun yang dibayar melalui aplikasi Penang Smart Parking (PSP), bayaran balik akan diproses secara automatik ke dalam dompet PSP pengguna.
Dalam pada itu, pengguna yang menerima kompaun kerana tidak membuat bayaran parkir tetapi telah membuat pembayaran dalam tempoh 10 minit daripada masa kompaun dikeluarkan turut dibenarkan mengemukakan rayuan untuk pembatalan kompaun dan bayaran balik.
Menurut Mooi Lye, Kerajaan Negeri akan terus mengambil kira suara serta keperluan rakyat di peringkat akar umbi bagi memastikan sistem penguatkuasaan dan perkhidmatan kepada rakyat dilaksanakan dengan lebih baik.

