Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus mengadakan libat urus dengan Kerajaan Persekutuan dan pemain industri bagi memperjuangkan struktur gaji yang lebih kompetitif, khususnya untuk graduan dan tenaga mahir tempatan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, isu penghijrahan bakat ke Singapura dan negara lain akibat tawaran gaji lebih menarik merupakan cabaran nasional yang perlu ditangani secara bersama.
Menurut Kon Yeow, usaha menarik pelaburan bernilai tinggi perlu diterjemahkan kepada pewujudan pekerjaan bernilai tinggi dengan gaji yang setimpal dengan kemahiran dan produktiviti pekerja.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal dan Jalinan 88 Captains 2026, sambil menyeru organisasi berkenaan memanfaatkan jaringan industrinya untuk bekerjasama dengan majikan, universiti dan pembuat dasar dalam mengkaji kadar gaji graduan serta memperbaiki laluan kerjaya golongan muda.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut mencadangkan supaya 88 Captains bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang meneroka program rintis bagi membantu pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi gagal memperoleh sijil kerana tidak memenuhi syarat minimum mata pelajaran wajib.
Beliau menegaskan golongan tersebut perlu diberikan peluang kedua melalui intervensi bersasar bagi meningkatkan pencapaian mereka, sekali gus membuka lebih banyak peluang melanjutkan pengajian, mengikuti latihan teknikal dan vokasional serta membina kerjaya pada masa hadapan.

