Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghargai sokongan Kementerian Ekonomi menerusi peruntukan RM12.3 juta bagi memperkukuh pelaksanaan Penang STEM Talent Blueprint.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, sokongan tersebut akan memperkasakan usaha negeri melahirkan bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi.
Peruntukan itu akan menyokong empat aliran utama termasuk program Ignite: Pendidikan STEM Untuk Generasi Muda, Ignite: MathQuest, Embed: AI on Wheels dan Embed: Technical Skill Learning.
Pendekatan berkenaan memberi pendedahan kepada pelajar sejak sekolah rendah hingga menengah, termasuk menyediakan kemahiran teknikal seawal Tingkatan Empat supaya mereka mempunyai pilihan untuk terus memasuki industri selepas SPM atau melanjutkan pengajian.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, program berkenaan menyasarkan 100,000 pelajar menjelang 2030, dengan Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi projek rintis berdasarkan kekuatan ekosistem industri E&E, semikonduktor dan pembuatan berteknologi tinggi.
Kejayaan model tersebut berpotensi diperluaskan ke negeri-negeri lain dalam usaha membangunkan bakat tempatan yang mampu membawa Malaysia daripada sekadar produk “dibuat di Malaysia” kepada “dicipta oleh Malaysia”.

