Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited memperkukuh sistem kesihatan negeri menerusi kerjasama strategik bersama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat Pengarah JKNPP yang baharu, Dr. Zulhizzam Abdullah, bagi membincangkan pelbagai agenda penting termasuk usaha memperkasa perkhidmatan kesihatan awam, menangani penyakit tidak berjangkit (NCD) serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Dalam pertemuan tersebut, pelbagai cadangan strategik dibincangkan termasuk penubuhan jawatankuasa khas peringkat negeri bagi menyelaras dasar berkaitan pemakanan sihat, gaya hidup sihat dan pencegahan penyakit tidak berjangkit.
Turut diberi perhatian ialah cabaran peningkatan populasi warga emas, keperluan memperkukuh intervensi kesihatan mental, menangani isu bunuh diri dan buli, selain mengatasi kekurangan tenaga kerja kesihatan melalui kerjasama antara sektor awam dan swasta.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh perkembangan beberapa projek infrastruktur kesihatan di Pulau Pinang seperti pembinaan hospital baharu, peluasan Jabatan Kecemasan Hospital Pulau Pinang (HPP) serta perancangan menaik taraf Hospital Sungai Bakap dan Hospital Bukit Mertajam.
Chow menegaskan Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan JKNPP dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap, berkualiti dan mampan demi kesejahteraan seluruh rakyat Pulau Pinang.

