Thursday, June 4, 2026
UtamaBeritaAkses rehabilitasi pediatrik diperkukuh menerusi pembukaan Kiwanis Rehabilitation Room di Hospital Pulau...

Akses rehabilitasi pediatrik diperkukuh menerusi pembukaan Kiwanis Rehabilitation Room di Hospital Pulau Pinang

Usaha memperkasa perkhidmatan kesihatan kanak-kanak di Pulau Pinang terus dipertingkatkan menerusi pembukaan Kiwanis Rehabilitation Room di Wad C2, Hospital Pulau Pinang (HPP), yang bakal memperluaskan akses kepada rawatan pemulihan secara lebih menyeluruh bagi pesakit pediatrik.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, kemudahan baharu tersebut bukan sekadar menambah baik fasiliti sedia ada, malah melengkapkan proses rawatan yang lebih komprehensif dan berpusatkan keperluan pesakit kanak-kanak.

Menurut beliau, sebagai hospital tertiari dan pusat rujukan subkepakaran bagi wilayah utara Semenanjung Malaysia, HPP memainkan peranan penting dalam memastikan setiap pesakit pediatrik mendapat peluang pemulihan yang optimum sebelum kembali menjalani kehidupan seharian.

“Fasiliti ini dijangka membantu mengurangkan risiko komplikasi serta kadar kemasukan semula ke hospital, di samping memastikan kesinambungan rawatan rehabilitasi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya ketika merasmikan pembukaan kemudahan tersebut.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze; wakil Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. R. Premalosini; Pengarah Hospital Pulau Pinang, Dr. Goh Hin Kwang; Presiden Kiwanis Club Penang Central (KCPC), Catherine Kang; Lieutenant Governor KCPC, Ir. Dr. Ngoo Seong Boon; Pengasas dan Penasihat KCPC, Datuk Seri Wong Siew Hai; Pengasas Kiwanis Malaysia, Puan Sri Datuk Hajjah Khir Johari serta Governor Elect Kiwanis Malaysia, Eric Low.

Mengulas lanjut, Zi Sen berkata pembukaan Kiwanis Rehabilitation Room merupakan hasil kerjasama kali kedua antara HPP dan Kiwanis selepas kejayaan pembukaan Kiwanis Sensory Room pada tahun lalu.

“Kerjasama seperti ini membuktikan bahawa sektor awam dan pertubuhan masyarakat mampu bergerak seiring dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, khususnya golongan kanak-kanak.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada KCPC atas komitmen berterusan mereka dalam menyokong pembangunan sektor kesihatan negeri,” ujarnya.

Dalam sesi sidang media selepas majlis tersebut, Zi Sen turut memaklumkan bahawa permintaan terhadap perkhidmatan rehabilitasi dijangka terus meningkat selaras dengan perubahan corak rawatan pesakit serta perkembangan Pulau Pinang ke arah negeri yang mempunyai populasi warga emas yang semakin bertambah.

“Peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan rehabilitasi memerlukan pendekatan yang lebih inklusif dan mampan supaya akses kepada rawatan tidak hanya bergantung kepada fasiliti kerajaan semata-mata,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa cadangan sedang dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar perkhidmatan rehabilitasi dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam manfaat skim PEKA B40, sekali gus membolehkan lebih ramai keluarga berpendapatan rendah mendapatkan rawatan pemulihan termasuk di fasiliti swasta.

Sementara itu, Dr. Goh Hin Kwang berkata penubuhan Kiwanis Rehabilitation Room akan memperkukuhkan lagi peranan HPP sebagai pusat rujukan tertiari yang menyediakan rawatan dan pemulihan secara menyeluruh kepada pesakit kanak-kanak di wilayah utara.

Menurut beliau, fasiliti rehabilitasi pediatrik tersebut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keupayaan fungsi, tahap berdikari dan kualiti hidup kanak-kanak serta remaja yang berdepan cabaran fizikal, kognitif atau perkembangan.

“Intervensi rehabilitasi yang diberikan ketika pesakit masih menerima rawatan di wad terbukti membantu proses integrasi semula ke dalam komuniti, persekolahan dan aktiviti harian.

“Selain membantu pesakit, kemudahan ini juga membolehkan penjaga menerima persediaan dan sokongan yang mencukupi sebelum proses discaj dilaksanakan secara lebih selamat dan terancang,” jelasnya.

Bagi Catherine Kang, pembukaan fasiliti tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kiwanis dalam memperluaskan akses kepada intervensi awal, perkhidmatan rehabilitasi dan sokongan kesihatan yang lebih inklusif kepada pesakit serta keluarga, khususnya kanak-kanak yang memerlukan bantuan dan perhatian khusus.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan misi Kiwanis untuk meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak menerusi kerjasama strategik bersama institusi kesihatan dan komuniti setempat.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments