Thursday, May 21, 2026
UtamaBeritaKerajaan Negeri Catat Surplus RM93.17 Juta, Hasil Akan Dipulangkan Kepada Rakyat –...

Kerajaan Negeri Catat Surplus RM93.17 Juta, Hasil Akan Dipulangkan Kepada Rakyat – Ketua Menteri

Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus mencatatkan prestasi kewangan memberangsangkan apabila berjaya merekodkan lebihan semasa sebanyak RM93.17 juta setakat 13 Mei 2026 hasil daripada pengurusan fiskal yang cekap dan berdisiplin. Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pencapaian tersebut membuktikan keupayaan pentadbiran negeri mengekalkan kedudukan kewangan yang stabil walaupun berdepan cabaran ekonomi global dan ketidaktentuan pasaran semasa.

Menurut beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi, berdasarkan Penyata Akaun Hasil Disatukan (AHD), Kerajaan Negeri berjaya mengumpul hasil keseluruhan sebanyak RM403.39 juta merangkumi hasil cukai, hasil bukan cukai serta terimaan bukan hasil. Dalam masa sama, kerajaan mengekalkan perbelanjaan secara berhemat dengan jumlah perbelanjaan mengurus direkodkan sebanyak RM310.22 juta.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Kelima Belas di sini pada 14 Mei lalu. Katanya, pendekatan disiplin fiskal yang diamalkan selama ini menjadi asas penting dalam memastikan setiap perbelanjaan kerajaan dibuat secara terkawal, telus dan memberi pulangan optimum kepada rakyat serta pembangunan negeri.

Mengulas isu semakan kadar cukai tanah yang mendapat perhatian pelbagai pihak sebelum ini, Chow memberi jaminan bahawa setiap hasil tambahan yang diperoleh tidak akan disimpan semata-mata, sebaliknya akan dipulangkan semula kepada rakyat melalui pelbagai bentuk pembangunan dan inisiatif kebajikan. Tegas beliau, pentadbiran negeri sentiasa menitikberatkan keseimbangan antara pengukuhan hasil kerajaan dan kemampuan rakyat menghadapi kos sara hidup yang semakin mencabar.

Menurut beliau, hasil negeri yang diperkukuh akan diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat menerusi empat sektor strategik utama iaitu pembangunan infrastruktur, pemerkasaan sosial, sokongan ekonomi dan agenda kelestarian hijau. Katanya, tumpuan akan diberikan kepada penyediaan kemudahan awam yang lebih moden dan berkualiti, selain memastikan kesinambungan program kebajikan seperti i-Sejahtera yang terus memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh sektor ekonomi melalui sokongan kepada industri dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), di samping memacu pelaburan bernilai tinggi yang mampu menjana peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat. Pada masa sama, agenda pembangunan mampan juga kekal menjadi keutamaan menerusi pelaksanaan langkah kecekapan tenaga dan dasar mesra alam demi menjamin kesejahteraan generasi masa hadapan.

Tambah beliau lagi, hasil tambahan negeri tidak diperuntukkan kepada satu projek atau inisiatif tertentu sahaja, sebaliknya disalurkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Negeri sebelum diagihkan secara strategik mengikut keutamaan semasa. Justeru, Chow menegaskan bahawa setiap keputusan dasar yang dibuat Kerajaan Negeri akan terus berlandaskan prinsip pembangunan mampan, pengurusan kewangan berhemah dan kebajikan rakyat supaya kemajuan negeri dapat dinikmati secara menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments